PAS tetap pertahan tutup premis judi

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tidak akan berganjak untuk menutup premis perjudian dan loteri di negeri di bawah pentadbirannya biar pun terpaksa berhadapan dengan tindakan mahkamah.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya turut mempertahankan keputusan kerajaan Kedah yang mengarahkan aktiviti itu tidak diberi lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri terbabit.

Malah katanya, PAS akan mengharamkan aktiviti yang didapati bertentangan dengan agama sekiranya mendapat mandat dalam pilihan raya umum (PRU) untuk memerintah negara.

“Macam mana cara nak kendalikan isu tersebut boleh ubah Perlembagaan Persekutuan dan serahkan bidang kuasa pembukaan premis dan sebagainya kepada kerajaan negeri 100 peratus.

“Tetapi nak ubah Perlembagaan Persekutuan sekarang sukar kerana Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan,” katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu yang membenarkan permohonan semakan kehakiman untuk menghalang tindakan kerajaan Kedah mengharamkan premis judi.

Selepas Kelantan dan Terengganu, Kedah turut mengharamkan aktiviti perjudian, loteri dan menghadkan penjualan minuman arak di premis di bawah bidang kuasa PBT.

Perlis turut menyatakan hasrat untuk melaksanakan pengharaman tersebut selepas PAS dan Bersatu mendapat mandat rakyat pada PRU lepas. – HARAKAHDAILY 12/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -