UPUOnline: Papar markah PAJSK, elak permohonan tercicir

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK) perlu dipaparkan dalam sistem UPUOnline.

- Advertisement -

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, ini bagi mengelakkan kejadian keciciran pemohon-pemohon yang berlaku sebelum ini.

“Saya ingin mencadangkan penambahbaikan dilakukan pada sistem permohonan UPU dan kemasukan ke SBP.

“Paparkan markah PAJSK dalam sistem UPUOnline supaya pemohon tahu termasuk pada salinan selepas penghantaran submission dilengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi ‘Waktu Pertanyaan Menteri’ di Dewan Rakyat hari ini.

Kata beliau, berdasarkan jawapan yang diberi menteri, sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM diberikan ‘template’ untuk diisi dan dihantar kepada KPM sendiri.

Tambahnya, masalah itu mungkin menjadi punca apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang berlaku baru-baru ini.

“Saya juga ingin mendapatkan perincian berapa kes yang dilaporkan atau dikesan berkaitan keciciran markah PAJSK melibatkan permohonan ke SBP dan kemasukan ke universiti?” soalnya.

Tambahnya, dalam satu kenyataan media oleh pihak KPM pada 7 Julai baru-baru ini menyatakan bahawa saringan semula keciciran markah PAJSK bagi calon SPM 2023 dan data tersebut dihantar kepada UPU untuk padanan semula.

“Jadi soalan saya, berapa ramai yang mendapat tawaran di universiti pilihan pertama mereka selepas saringan tersebut?

“Sekiranya perkara ini masih berlaku di masa akan datang apakah pihak KPM telah menetapkan satu prosedur dan panduan kepada pemohon untuk proses semakan dan rayuan?” soalnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapannya berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku khususnya tentang jaminan mereka mendapat tempat berdasarkan pilihan pertama dan juga saringan yang telah pun dibuat.

Dalam soalan asalnya beliau meminta Menteri Pendidikan untuk menyatakan adakah prosedur terkait PAJSK berbeza bagi sekolah selain bawah Kementerian susulan masalah pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti pilihan pertama atau kemasukan ke SBP kerana markah PAJSK kosong; dan apakah tindakan bagi kes seperti ini dan langkah-langkah penyelesaian daripada berulang. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -