‘Tindakan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat mengecewakan’

Nasir Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tindakan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat mengekalkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan Madani adalah tidak bermoral dan memalukan.”

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasir Abdullah berkata demikian, sambil menegaskan bahawa  tiada kekosongan terhadap enam Ahli Parlimen tersebut adalah sesuatu yang sudah dijangka walaupun sudah dibuang keahliannya daripada parti Bersatu.

- Advertisement -

“Sekali lagi tafsiran undang-undang telah dibuat secara semberono tanpa mengambil kira kesemua aspek termasuklah perlembagaan Parti Bersatu itu sendiri,” katanya.

Menurut beliau, Perlembagaan Parti Bersatu dengan jelas menyatakan mana-mana ahlinya yang tidak mengikut hala tuju parti itu sendiri akan terhenti keahliannya dan sebarang keputusan parti adalah muktamad, tidak boleh dicabar serta dirayu dalam mana-mana mahkamah.

Tambahnya, enam Ahli Parlimen tersebut adalah jelas mewakili Parti Bersatu dan seharusnya terikat dengan setiap keputusan parti mereka.

“Keputusan Speaker jelas dilihat telah mencampuri urusan dalaman Parti Bersatu atau mungkin sengaja mengelak daripada berlakunya pilihan raya yang semestinya akan mengundang padah dan malu kepada kerajaan Perpaduan. 

“Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat  secara terang-terangan membuat tafsiran yang sebenarnya hanya akan menjejaskan imej dan jawatan beliau sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, tujuh wakil rakyat Bersatu telah digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Enam daripada tujuh wakil rakyat berkenaan membabitkan Ahli Parlimen terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Zahari juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian Bersatu ialah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sehubungan itu, Nasir menyatakan strategi kerajaan dalam mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kawasan ahli Parlimen tersebut adalah amat licik dan memalukan.

Kata beliau lagi, keputusan sebegitu adalah jelas bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai pentadbir kerajaan persekutuan pada masa ini.

“Tidak dinafikan bahawa kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap dalam PRK baru-baru ini memberi tamparan yang hebat dan menyebabkan kerajaan mengelakkan berlakunya PRK dalam enam kawasan tersebut.

“Tambahan pula, semangat Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan digubal dan diluluskan oleh semua Ahli Dewan Rakyat atas kehendak bersama semua pihak agar diwujudkan Akta Lompat Parti telah menjadi sia-sia dan boleh diterjemahkan mengikut cita rasa tersendiri.

“Maka, tindakan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat dalam isu sebegini akan membuka ruang kepada Ahli Parlimen lain untuk membuat perkara yang sama dan menyebabkan Institusi Dewan Rakyat tidak lagi dihormati oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -