Tiada bukti tiang Surau Tokku Paloh tempat bersandar Nabi Khidir

Surau Tokku Paloh di Kuala Terengganu, Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU:  “Tiada bukti yang sahih menyokong dakwaan mengenai sebatang tiang di Surau Tokku Paloh yang kononnya dijadikan tempat bersandar Nabi Khidir AS.”

- Advertisement -

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, Pegawai Penguatkuasa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu telah mengunjungi Surau Tokku Paloh untuk menjalankan siasatan awal berkait video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurutnya, siasatan telah dijalankan dengan menemu bual dua orang penduduk tempatan  dan seorang cicit Tokku Paloh,  Syed Khairul Syed Mustafa.

“Penduduk setempat tidak langsung mengenali individu-individu yang terdapat dalam video yang tular dan dipercayai orang luar yang datang melawat surau berkenaan.

“Menurut Syed Khairul yang merupakan cicit Tokku Paloh dan antara individu yang mengimarahkan surau berkenaan, serta menjadi imam ketika solat fardhu, beliau tidak pernah mendengar cerita berkaitan Nabi Khidir pernah hadir dan ada bersandar di salah sebuah tiang di dalam surau berkenaan.

“Beliau turut menafikan dakwaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, video yang sedang tular di media sosial merupakan video yang lama sekitar empat atau lima tahun yang lepas. 

“Menerusi video yang ditularkan, warna dinding rumah yang berada ditepi surau berkenaan berwarna kelabu, namun kini dinding berkenaan berwarna hijau gelap.

“Hasil temu bual dengan penduduk setempat dinding rumah tersebut telah dicat baharu kira-kira empat atau lima tahun yang lepas,” katanya.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 2 minit 58 saat menerusi aplikasi TikTok yang dimuat naik pemilik akaun Remy Lepat Liat.

Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berkunjung ke sebuah surau didakwa berada Makam Tokku Paloh di Kuala Terengganu.

Beberapa pengunjung dilihat diberi penerangan oleh seorang lelaki selain terdapat pengunjung yang menunaikan solat serta mengusap tiang yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -