Semua agama haramkan amalan judi

Azhar Yahya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Apa jua bentuk amalan judi bukan sahaja diharamkan dalam agama Islam tetapi juga oleh agama-agama lain.”

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, adalah tidak wajar untuk membiarkan semua premis judi untuk terus dibuka dalam negeri Kedah walaupun jenis ‘berlesen’.

- Advertisement -

“Jadi, apabila kita bercakap mengenai soal pengharaman judi, ianya bukan sahaja dituntut dalam agama Islam tetapi juga dalam agama Kristian, Judaisme, Buddha dan seumpamanya.

“Maka seharusnya, tiada sentimen agama pun yang perlu dimainkan apabila kerajaan negeri Kedah itu sendiri mengharamkan semua jenis pusat judi,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini

Krisis Gadai Janji Suprim 2008

Menurut beliau, ekonomi kapitalisme itu sendiri adalah berasaskan amalan perjudian yang mana perkara tersebut boleh dilihat dalam Krisis Gadai Janji Subprima 2008 yang berlaku akibat daripada kartel perbankan menggunakan wang rakyatnya sendiri untuk berjudi dalam pasaran perumahan.

Tambahnya, kegiatan pengubahan wang haram (money laundering) juga dapat dilakukan dengan mudah apabila amalan judi masih lagi terus dibiarkan begitu sahaja.

“Jadi, saya harus menerangkan kepada rakyat berbilang agama dan bangsa bahawa pengharaman judi yang kerajaan negeri Kedah lakukan ini bukan sahaja bersifat perintah agama semata-mata tetapi juga untuk melindungi ekonomi negara kita daripada ‘ekonomi gelap’ (black economy).

“Kita harus faham bahawa sistem ekonomi yang ada pada hari ini adalah jelas bersifat kapitalisme yang mana aktiviti judi sering digalakkan untuk mengambil untung tetapi dengan mengorbankan orang yang tidak bersalah.

“Walaupun saya memberikan Krisis Gadai Janji Subprima 2008 sebagai satu daripada contoh perkara tersebut berlaku, akan tetapi di Malaysia sendiri pun sudah terlalu banyak pihak bank menyalahgunakan duit simpanan pelanggannya untuk berjudi dalam pelaburan-pelaburan bersifat spekulatif.

‘Too big to be jailed’

“Malah, ada yang dilabel ‘Islamik’ pun tidak terkecuali daripada melakukan sedemikian. Persoalannya, mengapa ramai dalam kalangan mereka tidak ditangkap? 

“Mudah sahaja iaitu kerana mereka terlalu ‘besar’ untuk dipenjarakan (too big to be jailed).

“Ini juga berlaku dalam industri-industri perjudian (terutamanya yang besar dan berdaftar) yang mana kita boleh lihat bagaimana mereka menyebabkan pelbagai masalah sosial untuk terus berlaku tetapi masih dapat menjalankan perniagaan seperti biasa dan sampai bila kita nak membiarkan masalah tersebut untuk terus berlaku?

“Sekurang-kurangnya dengan penutupan semua premis judi oleh kerajaan negeri Kedah sedikit sebanyak dapat membetulkan semula keadaan ekonomi rakyat dan juga negara sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Menurut laporan Berita Harian 9 Julai 2024 yang lalu, kerajaan negeri difahamkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu.

Sehubungan itu, Azhar menyatakan syarikat-syarikat judi sudah mula menunjukkan taringnya dengan bukan sahaja mencabar keputusan pengharaman judi dalam kerajaan negeri Kedah tetapi juga di Perlis.

Kata beliau lagi, tidak mustahil negeri Kelantan dan Terengganu menjadi sasaran seterusnya yang mana perkara sebegitu tidak boleh lagi dibiarkan.

“Jadi, kita wajib mempertahankan penutupan premis-premis judi tanpa alasan apa pun kerana sudah jelas lagi bersuluh yang mana judi telah banyak merosakkan rakyat kita tanpa mengira agama dan bangsa.

“Jangan sampai apabila ekonomi negara kita rosak kesan daripada judi baru semua orang sibuk nak sedar dan bertindak,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -