PBT juga tidak mahu premis judi beroperasi semula

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan negeri menamatkan pembaharuan dan pengeluaran lesen premis judi, tidak dilakukan secara drastik, sebaliknya mengambil kira tamat tempoh kontrak yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pengumuman berkenaan dibuat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media bertarikh 14 November  2021.

Di mana jelas beliau, pengumuman mengenai perkara itu dibuat selepas Pembentangan Bajet 2022 pada Sidang DUN Kedah dengan terlebih dahulu dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK).

Selaras dengan itu menurutnya, MMK telah bersetuju supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian sebelum tarikh menjelang Kedah bebas judi dilaksanakan pada 1 Januari tahun lalu.

“Namun sebelum keputusan memberhentikan semua operasi perjudian premis judi, MMK mengadakan perbincangan bersama MOF terlebih dahulu bagi mengetahui status lesen perjudian tersebut.

“Mengambil kira implikasi undang-undang, kerajaan negeri juga telah bersetuju supaya semua lesen premis perjudian iaitu Ejen Agensi Nombor Ramalan (NFO) dan kelab persatuan di Negeri Kedah diberhentikan sehingga 31 Disember 2022.

“Iaitu tarikh tamat tempoh yang sama seperti MOF,” jelasnya turut memaklumkan ketika itu terdapat 45 lesen premis perjudian NFO masih beroperasi dan satu premis perjudian yang tidak beroperasi dan telah ditutup.

Tegasnya, tempoh yang agak panjang telah diberikan oleh kerajaan negeri bermula pada tarikh diumumkan hinggalah dikuatkuasakan untuk membolehkan pemilik premis terbabit mencari alternatif perniagaan lain.

Sebelum ini media melaporkan beberapa pemilik premis perjudian di Kedah berjaya dalam tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri berikutan keputusan tidak menyambung serta tidak mengeluarkan lesen premis perjudian bermula 1 Januari 2023 lalu.

Sementara Sanusi pada sidang medianya semalam memaklumkan, pihak beliau telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 24 Jun 2024 dan notis penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah pada 4 Julai 2024.

Justeru kata ADUN Kuala Ketil itu, kerajaan negeri melalui bidang kuasa PBT tidak bersetuju premis perjudian di negeri itu beroperasi kembali serta mengharap notis rayuan ke Mahkamah Rayuan akan berjaya.

“Malah  PBT boleh menguatkuasakan peruntukan undang-undang kecil di bawah PBT sendiri dan ia juga selari dengan perundangan yang sedia ada,” tegasnya lagi.

Empat syarikat perjudian yang berjaya menfailkan bantahan terhadap kerajaan negeri ialah STM Lottery Sdn Bhd, ENE (Penang) Sdn Bhd, Everyday Dollars Sdn Bhd, Tiara Tiers (M) Sdn Bhd, Swift Wizard Systems Sdn Bhd dan Golden Instincts (M) Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -