PAJSK: Menteri Besar Pahang, Exco Pendidikan perlu main peranan

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Menteri Besar Pahang dan Exco Pendidikan negeri itu dimohon memainkan peranan sewajarnya berhubung isu yang tular di media sosial mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, kesukaran yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dikatakan berpunca daripada sistem pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi pelajar sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di mana mereka difahamkan menerima markah “0” dalam sistem kemasukan ke IPTA. 

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan susulan yang diambil oleh dua pemimpin yang sepatutnya bersuara setelah isu tersebut tular.

“Apabila dinobatkan MTNP sebagai sekolah terbaik SPM, kita angkat kita julang tetapi apabila berlaku isu berbangkit yang melibatkan pelajar kita seperti tidak ambil cakna kepada mereka.

“Ingatlah pendidikan bukanlah isu yang patut dipolitikkan tetapi isu yang patut kita tangani bersama demi kebaikan anak bangsa kita, khususnya untuk mengangkat suara Islam, suara Melayu, dan perpaduan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, polemik permasalahan itu bermula apabila pihak KPM telah menukar sistem pelaporan PAJSK ni daripada di muat naik di sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) ke sistem Sistem Pengurusan Identiti (iDME).

Susulan itu, katanya timbul persoalan kenapa Sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM tidak diberikan ruang untuk mengakses sistem itu sebagaimana sekolah KPM walhal mereka juga berdaftar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang membawa suara dan rintihan pelajar, guru dan juga ibu bapa pelajar sekolah swasta dalam Malaysia ke Dewan Rakyat.

“Apabila diperhalusi jawapan daripada Menteri KPM, ia seolah-olah memberi jaminan tiada lagi isu berbangkit selepas ini.

“Terima kasih diucapkan atas jaminan YB Menteri. Diharapkan jawapan YB Menteri ini bukan hanya cakap-cakap politik tetapi ianya satu jawapan dan komitmen berterusan YB Menteri dan KPM untuk memastikan anak-anak pelajar sekolah swasta terus diberikan ruang yang sama dengan anak-anak pelajar sekolah KPM,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -