Nilai NR-REE RM810 billion

Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati nilai simpanan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM810 billion.

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, nilai tersebut adalah hasil daripada kadar simpanan NR-REE di semenanjung negara ini iaitu bersamaan 16.2 juta tan.

- Advertisement -

“Walau bagaimanapun, perlombongan NR-REE tidak dibenarkan di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK). 

“Justeru, satu projek rintis perlombongan NR-REE telah dijalankan di luar kawasan HSK di Kenering, Perak. 

“Berikutan itu, panduan aktiviti perlombongan NR-REE di luar kawasan HSK telah diedarkan pada Disember 2023,” katanya.

Menurut beliau, Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] hanya terpakai ke atas perlombongan yang sah sahaja yang mana sebarang tindakan perundangan terhadap aktiviti perlombongan haram tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tambahnya, dalam isu pembalakan pula, aktiviti pembalakan dalam HSK berlaku dalam hutan yang dikelaskan sebagai hutan pengeluaran sahaja melalui pendekatan lestari dan terpilih di mana, hanya saiz pokok tertentu sahaja yang boleh ditebang.

“Lesen pembalakan dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan setiap negeri mesti mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi memastikan aktiviti pembalakan tidak melebihi had keluasan di dalam hutan pengeluaran.

“PAC telah dimaklumkan bahawa sehingga kini, CTT dipatuhi kesemua negeri sejak lebih 10 tahun lalu. Namun begitu, PAC dimaklumkan bahawa isu tanah runtuh dan isu pencerobohan hutan berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan di peringkat negeri.

“Oleh itu, pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] telah dilaksanakan bagi menangani isu ini. 

“Seksyen 3A, Akta Perhutanan Negara Pindaan Tahun 2022 (A1667) memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh memberikan kuasa secara bertulis kepada mana-mana pegawai perhutanan Persekutuan untuk menjalankan penguatkuasaan.

“Namun, kebanyakan kerajaan negeri masih belum mengguna pakai A1667,” jelasnya ketika membentangkan Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, hari ini.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata, PAC juga mendapati bahawa terdapat kelemahan dalam pelaksanaan penanaman semula Projek Pembangunan Ladang Hutan.

Tambah beliau lagi, kehilangan habitat merupakan punca utama yang menyumbang kepada berlakunya konflik manusia-hidupan liar.

“Maka sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan kepada kerajaan 7 perkara untuk dilaksanakan berhubung isu ini.

“Satu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu membentangkan kepada PAC dapatan daripada projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang telah dijalankan serta butiran lengkap projek rintis berkenaan.

“Selain itu, NRES perlu segera meminda Akta Pembangunan Mineral 1994[Akta 525] supaya tindakan terhadap aktiviti perlombongan haram dapat dilaksanakan. 

“NRES perlu terus berusaha bagi mendapatkan komitmen daripada kerajaan negeri/wilayah untuk mengurangkan aktiviti pembalakan serta memfokuskan aktiviti ekopelancongan dan inisiatif perdagangan karbon supaya impak negatif dapat diminimumkan.

“Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak bersama-sama pihak kerajaan negeri serta agensi yang terlibat dengan pengurusan perhutanan dan tanah perlu lebih aktif melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan termasuk penggunaan teknologi terkini.

“Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan negeri juga perlu melaksanakan kajian keperluan perjawatan bagi memastikan sumber manusia mencukupi daripada segi bilangan dan berkemahiran untuk menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara konsisten serta efektif.

“NRES perlu melaksanakan libat urus bersama kerajaan negeri untuk menggalakkan pemakaian Akta Perhutanan Negara Pindaan Tahun 2022 (A1667) supaya amalan piawaian standard digunakan seperti yang digariskan dalam akta.

“Akhir sekali, NRES perlu memastikan Jabatan Alam Sekitar segera melaksanakan penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] kepada Jabatan PERHILITAN.

“Ini bertujuan supaya pematuhan dan penguatkuasaan WMP dapat segera dilaksanakan bagi menangani konflik manusia-hidupan liar,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -