Nenggiri bakal berubah wajah

- Advertisement -

GUA MUSANG: Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang terletak di pedalaman Kelantan bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila siap Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri.

- Advertisement -

Begitu juga penduduk Orang Asli yang terbabit dengan projek terbabit akan dipindah ke lokasi baharu dengan menyediakan penempatan lebih tersusun.

Masyarakat Orang Asli Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias akan dipindahkan ke penempatan baharu pada pertengahan 2026.

Sehingga sekarang difahamkan seramai 250 daripada 280 ketua isi rumah bersetuju dengan pakej pampasan dan berpindah ke penempatan baharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini dilapor berkata, dua tapak seluas lebih 2,000 ekar disediakan bagi menempatkan masyarakat Orang Asli.

Penempatan terbabit akan dilengkapi perumahan, infrastruktur asas, ladang getah dan tapak dusun bagi membolehkan penduduk Orang Asli mencari rezeki.

Mereka juga akan dibayar elaun dan logistik perpindahan serta bantuan sara hidup bulanan sebelum ladang getah mengeluarkan hasil.

Ada kampung tradisional di DUN Nenggiri menggunakan laluan sungai.

Selain penempatan Orang Asli, beberapa kampung juga terlibat dengan pembinaan Empangan Nenggiri termasuk Kampung Depak, Kampung Bering, Kampung Lama Gemalah, Kampung Tinjing dan Kampung Guling.

Projek yang bernilai lebih RM5 bilion itu mampu membekalkan 300 megawatt tenaga elektrik bagi keperluan rakyat di negara ini.

Lebih penting lagi menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Sehingga sekarang ramai golongan belia bekerja di lokasi projek terbabit.

Empangan Nenggiri akan membentuk tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi dan kolam pengatur-aliran seluas 0.9 kilometer persegi serta sebuah empangan pelana.

Ekonomi hiliran

Komponen tersebut berpotensi mewujudkan aktiviti ekonomi hiliran termasuk akuakultur dan eko-pelancongan.

Ia dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan daripada industri akuakultur dan eko-pelancongan yang boleh dimanfaatkan penduduk tempatan dan pemain industri.

Empangan Nenggiri dijangka menjejaki populariti Tasik Kenyir di Terengganu dan Tasik Banding di Gerik Perak yang terkenal sebagai destinasi pelancongan air.

Projek Empangan Nenggiri dimulakan pembinaan pada Mac 2022 turut berpotensi membekalkan air bersih, mengurangkan kesan banjir dan memperbaiki sistem pengairan untuk pertanian.

Baru-baru ini anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Izani Husin meninjau tapak projek dan mendapat taklimat daripada pihak pengurusan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“Faktor geografi dan muka bumi Nenggiri di kelilingi bukit batu kapur serta flora dan fauna akan memberi nilai tambah kepada Empangan Nenggiri apabila siap kelak.

“Saya merakam penghargaan kepada TNB dan TNB Genco yang melaksanakan projek tersebut dan dijangka siap pada 2027,” katanya.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad pula berkata, penduduk di DUN Nenggiri tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan apabila siap projek Empangan Nenggiri.

Menurutnya pembangunan di kawasan terbabit dijangka semakin rancak dengan adanya projek mega bagi memacu pertumbuhan ekonomi setempat. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -