Mekanik maut selepas disedut enjin pesawat

Seorang mekanik disedut ke dalam enjin sebuah pesawat di Lapangan Terbang Chabahar Konarak, Iran. (FOTO: Bnews)
- Advertisement -

TEHRAN: Seorang mekanik maut selepas disedut ke dalam enjin pesawat Boeing 737-500 milik Varesh Airline dalam kejadian ngeri yang berlaku di Chabahar Konarak, Iran.

Mangsa dikenali sebagai Abolfazl Amiri yang merupakan seorang mekanik berpengalaman sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutinnya pada pesawat tersebut.

Ketika kejadian, enjin pesawat dilaporkan dihidupkan semula dengan penutupnya terbuka untuk menjalani ujian, lapor Times of India.

- Advertisement -

Difahamkan, Abolfazl bergegas kembali ke pesawat dan melalui kawasan keselamatan untuk mengambil peralatannya yang tertinggal secara tidak sengaja.

Semasa kembali ke situ, Abolfazl tidak dapat menahan daya tarikan kuat turbin enjin pesawat menyebabkan mangsa disedut ke dalam enjin tersebut sebelum ia meletup.

Pasukan bomba lapangan terbang bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mayat mangsa dalam keadaan yang menyayat hati.

Susulan kejadian tragis itu, satu siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa penerbangan Iran bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan memastikan insiden ini tidak berulang lagi. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -