Mazhab: Pandangan TG Abdul Hadi mendahului zaman

- Advertisement -

KITA faham apa maksud Tuan Guru, kenapa beliau hanya menekankan mengenai Islam tanpa spesifikkan mazhab atau aliran pemikiran. Kerana beliau memahami apa yang pernah berlaku dalam sejarah umat Islam terdahulu.

Apabila Bani Umayyah menguasai kerajaan, mereka mempromosikan mazhab Jabariyyah dan Nashb kerana menguntungkan politik mereka.

Kemudian apabila di zaman Bani Abbasiyyah, Khalifah Abu Ja’far al-Mansur atau Harun ar-Rasyid pernah bercadang mahu menjadikan mazhab Imam Malik sebagai mazhab rasmi negara, tetapi ditolak oleh Imam Malik sendiri.

- Advertisement -

Ideologi kebanyakan Khalifah Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah ialah an-Nashb, iaitu memusuhi keturunan Saidina Ali KW dan Sayyidah Fathimah RA.

Kemudian zaman al-Makmun yang begitu tertarik dengan falsafah sehingga mendirikan Baitul Hikmah, beliau menjadikan fahaman Mu’tazilah sebagai mazhab rasmi negara, sehingga berlakulah mehnah khalq al-Quran yang memangsakan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Buwaithi murid Imam Syafie.

Pada zaman Khalifah al-Mutawakkil pula, beliau cenderung kepada fahaman ‘Hasyawiyyah Musyabbihah’ dan Nawashib.

Walaupun zaman beliau, Imam Ahmad bin Hanbal dilepaskan, namun al-Mutawakkil mempromosikan periwayatan hadis-hadis sifat mutasyabihat tanpa takwil atas nama menegakkan ‘Sunnah’ sebagai tindak balas terhadap golongan Mu’tazilah yang mentakwilkan nas mutasyabihat.

Pertembungan tersebut terus menjadi polemik yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.

Al-Mutawakkil juga menyerang maqam Saidina Husain di Karbala sebagai protes terhadap fahaman tasyayyu’ dan kecenderungan Khalifah al-Ma’mum kepada Imam Ali Ridha, yang mengeruhkan lagi hubungan sosial antara kaum Syiah dengan kaum Sunni.

Apabila Bani Buwaiyh berjaya menguasai kerajaan, Khalifah Abbasiyyah hanya dijadikan sebagai simbol pemerintahan Islam, namun pemerintah _de facto_ ialah Bani Buwaiyh. Bani Buwaiyh menggunakan kesempatan ini untuk menyebarkan fahaman tasyayyu’ ke dalam masyarakat.

Apabila golongan Bani Ubayd berjaya menubuhkan empayar mereka yang diberi nama Fathimiyyah di Mesir dan utara Afrika. Bani Ubayd menganut fahaman Syiah Ismailiyyah dan menjadikannya sebagai mazhab negara. Kerajaan Seljuk, Mamluk dan Ayyubiyyah berfahaman Asya’irah.

Salahuddin al-Ayyubi berjaya menguasai Mesir dan mengubah mazhab Mesir menjadi Asya’irah. Jami’ al-Azhar pun berubah daripada menjadi institusi propaganda tasyayyu’ Isma’ili kepada institusi keilmuan Ahli Sunnah.

Apabila Bani Uthman bin Thurgrul berjaya menewaskan Kerajaan Mamluk dan mengasaskan empayar Uthmaniyyah yang berfahaman Maturidiyyah bermazhab Hanafi. Di sebelah wilayah Parsi berdiri Kerajaan Shafawiyyah yang menjadikan fahaman Syiah 12 Imam sebagai mazhab rasmi lalu berlakulah pertembungan politik antara dua kuasa, Uthmaniyyah dan Shafawiyyah.

Gabungan kerjasama antara Muhammad bin Abdul Wahab yang menghidupkan fahaman Ibnu Taimiyyah dengan sokongan Bani Saud akhirnya berjaya mengasaskan Kerajaan Saudi yang menjadikan fahaman Muhammad bin Abdul Wahab sebagai ideologi keagamaan negara Arab Saudi.

Di sebelah Yaman Utara, Syiah Zaidiyyah berjaya menubuhkan Kerajaan Zaidiyyah. Negara Oman pula mengasaskan Kerajaan Ibadhiyyah, cabang moderat Khawarij. Manakala di Hadramaut, para pendakwah yang merantau akhirnya berjaya mengislamkan rantau Nusantara.

Oleh kerana itulah fahaman umat Islam di Nusantara yang menisbahkan usaha pengislaman melalui peranan Wali Songo, mengikuti tradisi pengamalan agama para Habaib Hadramaut, beraliran Asya’irah dari sudut fahaman akidah, mengikuti fiqh mazhab Syafie dan bertasawwuf aliran Imam Ghazali.

Pergolakan politik di akhir pemerintah Uthmaniyyah yang dicetuskan oleh gerakan Turki Muda akhirnya berjaya menggulingkan empayar besar kuasa Islam itu, lalu digantikan dengan sistem republik sekular di Turki. Mustafa Kemal Ataturk menjadi Presiden Turki sekular yang pertama.

Manakala di wilayah Iran berlaku sebaliknya. Kerajaan Shah Reza Pahlawi yang sekular berjaya ditumbangkan oleh Revolusi tahun 1979 lalu Iran bertukar sistem pemerintahan menjadi Republik Islam berdasarkan teori Wilayat Faqih Imam Khomeini. Mazhab Syiah 12 Imam dan Fiqh Ja’fari dijadikan sebagai mazhab Republik Iran.

Di Malaysia pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama, namun tafsirannya ditetapkan oleh kerajaan yang berkuasa, yang membawa kepada polemik adakah Malaysia boleh dianggap sebagai negara Islam ataupun negara sekular?

Tunku Abdul Rahman pernah menafsirkan Perkara 3 dengan tafsiran sekular. Manakala PAS sejak dahulu berusaha membawa tafsiran Islamik terhadap Perkara 3 tersebut.

Pada hemat saya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak mahu Islam difahami melalui satu perspektif sahaja, kerana itulah beliau menyebut dalam Islam ada pelbagai mazhab dan meminta supaya RUU Mufti Wilayah dikaji dengan lebih teliti dan mendalam.

Pandangan Tuan Guru ini tidaklah sedangkal pemikiran golongan yang melihat krisis keagamaan di Malaysia dalam kerangka sempit ‘ASWAJA lawan Wahabi’ sahaja. Beliau mahu Islam di era mutakhir ini dilihat secara lebih luas, keluar daripada perspektif yang disempitkan kepada satu mazhab sahaja.

Inilah usaha taqrib bainal mazahib Islamiyyah mendekatkan antara kepelbagaian mazhab Islam yang didukung oleh Tuan Guru bagi menghadapi ancaman yang lebih utama, iaitu Zionisme dan Sekularisme.

Tuan Guru mahu gerakan taqrib ini dapat dijalankan di Malaysia setelah usaha taqrib ini sukar untuk dilaksanakan di negara umat Islam yang lain atas pelbagai faktor.

Namun, dari sudut pandang yang lain, pihak yang menyokong RUU Mufti Wilayah yang mahu menetapkan pengamalan agama terhad kepada manhaj akidah Asya’irah dan Maturidiyyah, Fiqh Imam Syafie dan tasawwuf Junaid; adalah kerana mereka mahu menyelaras dan menyeragamkan kefahaman dan pengamalan agama Islam menurut satu pandangan yang sama bagi Umat Islam di Malaysia.

Di samping mahu menamatkan polemik kaum tua dan kaum muda yang tidak berkesudahan sehingga kini.

Mungkinkah umat Islam di Malaysia masih belum bersedia untuk menerima idea tajdid dan gagasan penyatuan ummah yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?

Sebagaimana suatu ketika dahulu, sebahagian bekas pimpinan PAS menolak konsep ‘Unity Government’ atau Kerajaan Perpaduan bersama Umno, yang menyebabkan mereka keluar PAS dan menubuhkan parti baharu.

Orang yang sebelum ini memandang jijik bekerjasama dengan Umno, sekarang ini mereka sudah boleh berceramah sepentas dengan Umno dan mengambil idea UG Tuan Guru itu untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Umno.

Pemikiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini sememangnya mendahului zaman. Sekiranya sekarang ini belum lagi masanya, mungkinkah akan tiba suatu masa nanti gagasan Penyatuan Ummah ini akan dapat diterima dan dilaksanakan?

Pada ketika itu perbezaan firqah dan mazhab tidak lagi berada dalam kerangka sesat dan menyesatkan, bid’ah membid’ahkan dengan kebenaran hanya dimonopoli oleh satu kumpulan sahaja. Tetapi perbezaan diraikan dalam kerangka madrasah pemikiran yang dinilai idea manakah baik dan praktikal untuk dikekalkan dan idea manakah layak ditinggalkan sebagai catatan sejarah.

Pada ketika itu seluruh umat Islam dapat disatukan atas nama Islam, kembali mengikut dasar khilafah ‘ala minhaj Nubuwwah.

فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَیَذۡهَبُ جُفَاۤءࣰۖ وَأَمَّا مَا یَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَیَمۡكُثُ فِی ٱلۡأَرۡضِۚ

Maksudnya: “Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.” (ar-Ra’d: 17)

USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Pengerusi
Lajnah Dakwah
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -