Lebih 30 tahun Kelantan pertahan sifar rasuah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih tiga dekad Kelantan diterajui PAS berjaya mempertahankan sifar rasuah, di mana tiada pemimpin kerajaan negeri disabitkan dengan kesalahan rasuah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, dasar Membangun Bersama Islam berjaya membentuk jati diri serta memandu kepimpinan pelbagai peringkat menolak penyelewengan.

“Apa sebab kita berjaya kekalkan prestasi ini.. tentunya penghayatan kepada tuntutan agama iaitu iman dan taqwa sahaja yang menjadi ‘polis’ kepada diri sendiri.

“Kita akan mati dan kita akan berhadapan perhitungan di akhirat sama ada syurga atau neraka. Oleh sebab itu, berwaspada atas segala keputusan agar perkiraan dosa dan pahala menjadi pertimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Ahli Politik dan Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad; Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain dan wakil-wakil rakyat.

Mohd Nassuruddin juga berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya mahu memperkukuhkan lagi agenda Islam dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, komited untuk membentuk sebuah masyarakat yang bertakwa dengan penghayatan Budaya Komuniti Rabbani selepas kejayaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -