Kesan penarikan Skim Baja Padi buat petani

Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa agar mempertimbangkan dengan mendalam implikasi Skim Baja Rintis terhadap petani.

Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata demikian susulan kementerian itu membuat keputusan menarik semula Skim Subsidi Baja Padi di beberapa tempat dengan menggantikan Skim Baja Rintis menerusi sistem tender terbuka. 

- Advertisement -

Kawasan jelapang padi yang terlibat bagi musim ini, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) Besut, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), IADA Semerak Kemasin Kelantan, IADA Pulau Pinang dan IADA Barat Laut Selangor.

“Syarikat yang berjaya akan uruskan semburan dan kerja-kerja tabur baja. Maknanya urusan sembur dan tabur baja bukan lagi urusan pesawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Azman meminta ia diteliti dengan lebih lanjut mengenai kebaikan dari skim baharu itu kepada petani berikutan terdapat beberapa isu yang dibangkitkan pesawah di lapangan.

“Siapa kontraktor yang dapat kontrak untuk sembur/tabur baja? Berapa lama kontraktor dan pekerja mereka ada pengalaman ‘buat padi’

“Apa jaminan kontraktor boleh buat campuran baja dan teknik tabur baja yang lebih baik berbanding pengalaman pesawah yang telah berpuluh tahun bergelumang selut dan lumpur

“Mampukah kontraktor bagi jaminan mereka boleh menepati jadual pembajaan yang dikehendaki pesawah? 

“Berapa ramai mereka ada pekerja untuk menyelesaikan taburan baja kira-kira 5,000 hektar sawah padi IADA Ketara Besut?” soalnya.

Terdahulu, KPKM memperkenalkan Skim Baja Perintis melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran beras negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, insentif itu membolehkan para petani terus mendapat skim baja sedia ada dan akan ditambah dengan baja-baja tambahan lain. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -