Kerajaan perjudikan keselamatan negara – Mythreyar

Bantah penjualan sebahagian kepentingan MAHB kepada GIP-BlackRock

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin hadir memberikan sokongan kepada bantahan mogok lapar yang dilakukan seorang simpatisan isu Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam.

- Advertisement -

Beliau melakukan kunjungan di lokasi lelaki India itu melakukan mogok lapar di kawasan laluan pejalan kaki bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Mythreyar, 46, yang berasal dari Tanjung Malim melakukan mogok lapar tersebut bermula semalam sehingga esok kerana membantah penglibatan GIP-BlackRock dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Bakri berkata, beliau hadir untuk menyatakan sokongan terhadap usaha dilakukan Mythreyar yang sebenarnya selaras dengan perkara diperjuangkan oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

“Kita sokong dengan apa yang beliau lakukan. Sebab di Parlimen pun kami sentiasa bangkit membahaskan isu ini. Bila ada ruang saja di Parlimen kita bahas.

“Memang kita PN, pendirian kita jelas memang kita menentang pengambilalihan 25 peratus kepentingan saham MAHB oleh GIP-BlackRock ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambah Bakri, sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan, Mythreyar sekadar melakukan tanggungjawabnya dan cakna dengan penindasan dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Mythreyar ni seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berlaku dalam negara. Sebab itu saya sokong dengan tindakan dia. Sebab itu cara dia meluahkan bantahan dia tidak ada cara lain

“Sebenarnya isu ini bagi kita orang Islam adalah isu agama, tetapi bagi orang-orang yang bukan beragama Islam ia adalah isu kemanusiaan. Kalau anak kecil dibunuh, hospital dibom, sekolah dibom, jadi bagi mereka itu ialah genosid.

“Sebab itu hari ini kita lihat sokongan itu dari seluruh dunia sebenarnya. Di Amerika, di UK sendiri mereka bantah tentang penyertaan BlackRock dalam mana-mana aset kerajaan,” ujarnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka menzahirkan rasa gembira kerana usaha Mythreyar itu turut disokong oleh ramai ‘Tiktokers’ terkenal seperti YB Viral, Naimah dan ramai lagi termasuk beberapa NGO yang pro-Palestin.

Beliau turut menggesa kerajaan agar membuka mata terhadap bantahan yang dibuat oleh rakyat dan tidak bersikap degil dan keras kepala dalam meneruskan tindakan menyerah sebahagian kepentingan MAHB kepada GIP-BlackRock.

“Kerajaan jangan beranggapan bahawa diri mereka cerdik, semua keputusan mereka betul dan menganggap rakyat bodoh dan sebagainya. Tak boleh buat begitu.

“Kerana rakyat ni mereka yang mengundi kita. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan kita, mereka akan tolak kerajaan seperti yang berlaku pada kerajaan pimpinan Rishi Sunak di United Kingdom,” katanya.

Sementara itu, Mythreyar dalam pertemuan itu berkata, beliau bertindak sedemikian sebagai protes terhadap tindakan kerajaan yang cuba memperjudikan keselamatan negara dengan menjual sebahagian kepentingan MAHB dalam GIP-BlackRock.

“Kerajaan tidak patut menyerahkan pintu masuk negara kepada syarikat yang ada kaitan dengan Israel. Ia adalah isu keselamatan. Di situ adanya radar yang turut berfungsi untuk tentera dan sebagainya.

“Pintu masuk ini soal kedaulatan negara. Kita tidak boleh terima soal kedaulatan ini diperkecilkan. Lebih-lebih lagi kepada syarikat berkaitan Zionis. Saya tidak boleh terima tindakan ini. Sebab itu saya lakukan mogok lapar ini,” katanya.

Tambahnya, ada banyak lagi pelabur lain boleh melabur pada MAHB, namun beliau kesal kerana Kerajaan Malaysia tetap memilih GIP-BlackRock yang terlibat dalam membekalkan senjata untuk membunuh rakyat Palestin.

“Kita tak mahu apa yang berlaku di Palestin berlaku di Malaysia sedikit demi sedikit. Tengoklah peta Negara Palestin sekarang, dulu negara itu besar, tetapi sekarang hanya tinggal sedikit kerana kekejaman Israel. Kita tak mahu Malaysia pun jadi macam tu,” tegasnya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong apa yang dilakukannya itu termasuk ahli-ahli politik dan NGO terutama yang berkaitan dengan pembelaan rakyat Palestin.

“Saya tidak makan atau minum sejak semalam dan saya akan teruskan sehingga esok. Walaupun sangat letih dan lapar tetapi saya rasa kuat kerana sokongan rakyat Malaysia dan demi Palestin,” katanya.

Mythreyar dikenali sebagai seorang aktivis memperjuangkan isu Palestin di Malaysia dan banyak melibatkan diri dalam banyak himpunan dan demonstrasi anti Israel di negara ini. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -