Keputusan Speaker boleh subur adegan lompat parti

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dianggap boleh menyuburkan semula adegan lompat parti.

- Advertisement -

Ia membelakangi semangat pindaan Perlembagaan bagi menghalang wakil rakyat belot dalam perjuangan selepas mendapat mandat rakyat.

Pengarah Urusan Strategik Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, rakyat dan pemimpin yang cintakan kestabilan politik negara harus bangkit mencela keputusan tersebut.

Katanya, tindakan serupa juga harus diambil pencinta demokrasi kerana tindakan itu dianggap boleh mengundang ketidakstabilan politik.

“Semua pihak harus bangkit mencela keputusan Speaker Dewan Rakyat kerana membelakangi roh Akta Anti Lompat Parti,” katanya di sini.

Pada kenyataan media semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Speaker Dewan Rakyat menolak permohonan parti itu untuk menggosongkan enam kerusi Ahli Parlimen yang berpaling tadah.

Menurut Johari, melalui surat kepada Ketua Whip Bersatu Datuk Sri Dr Ronald Kiandee, memaklumkan tidak berlaku kekosongan enam kerusi ahli parlimen terbabit di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Speaker Dewan Rakyat itu bertentangan dengan Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah apabila mengosongkan kerusi DUN Nenggiri selepas bekas Adun terbabit didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Prof Dr Hamirdin Ithnin

Ketua Sidang As-Sabiqun PAS Selangor, Prof Dr Hamirdin Isnin pula berkata, selama ini pujian diberi kerana Speaker mempertahankan ‘kedaulatan undang-undang’.

Namun, katanya dalam konteks enam bekas Ahli Parlimen Bersatu belot daripada perjuangan tindakan sebaliknya pula diambil.

“Merekalah yang menginjak-injak tanggapan ini. Bukti sangat jelas apabila Speaker Dewan Rakyat memijak Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Artikel itu menyatakan kerusi ahli parlimen akan dikosongkan dalam satu daripada tiga keadaan iaitu jika dia meletakkan jawatan dalam partinya, berhenti menjadi ahli parti dan menyertai parti politik lain.

Malah, kata beliau Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim turut menyifatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia untuk menghentikan lompat parti.

“Justeru saya percaya dan menegaskan bahawa rakyat betul apabila mereka mempersendakan singkatan Pakatan sebagai ‘pakatun’,” ujarnya.

Beliau turut bimbang hujah yang pernah disebut Joseph Goebbels, ‘jika anda berbohong dengan cukup besar dan terus mengulanginya, orang ramai akhirnya akan mempercayainya’. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -