Kehadiran untuk ziarah Tuanku Raja Perlis – Muhyiddin

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kehadirannya ke negeri ini adalah semata-mata untuk menziarahi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

- Advertisement -

Menurutnya, Tuanku begitu prihatin terhadap masalah rakyat dan bertitah berharap agar isu-isu mereka dapat diatasi dengan segera.

“Tidak, saya datang bukan nak endorsed apa-apa, saya tahu sudah ada kerajaan negeri, ada Menteri Besar, dah ada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” kata Muhyiddin ketika sidang media di Kampung Warna Warni di Kuala Perlis, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau juga mendengar sendiri perancangan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli bersama kepimpinan parti dan menegaskan bahawa kehadirannya tidak mempunyai niat untuk campur tangan dalam soal kepimpinan negeri.

“Nak lihat agar negeri Perlis ini pentadbirannya kukuh, kerana saya tahu kehendak rakyat Perlis ini jelas,” tambah beliau yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh.

Selain itu, Muhyiddin menegaskan pentingnya mempercepatkan usaha pembangunan negeri, terutama dalam situasi dan keadaan ekonomi yang agak merosot sekarang.

“Jadi, tidak ada kaitan dengan soal kepimpinan dan sebagainya. Sebarang spekulasi itu biasalah,” kata Muhyiddin, sambil menolak sebarang spekulasi mengenai niat kehadirannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa kehadirannya ke Perlis selain menziarahi Tuanku Raja Perlis adalah sebahagian daripada kunjungan rutin selepas setahun tidak melawati negeri itu.

“Saya datang ini kerana saya baru datang nak ziarah Tuanku. Dah lama tak datang sini, kali terakhir masa Pilihan Raya Negeri, setahun lepas,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -