Kajian sarjana: Populariti Sanusi mengatasi Anwar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keberadaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam gelanggang politik telah menenggelamkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim walaupun diangkat sebagai Perdana Menteri.

Sosok yang lantang bersuara dan lasak ini sebenarnya dibentuk oleh sifat ikhlas, merendah diri, pembawakan diri sebagai budak kampung, dan jujur.

- Advertisement -

Dapatan ini didedahkan menerusi kajian “Pembinaan Personaliti Jenama Politik Sanusi dalam TikTok” oleh pelajar Program Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah.

Kajian tersebut dijalankan dalam tempoh enam minggu, bermula dari 15 Julai hingga 25 Ogos 2023, ketika menghampiri tempoh penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah 2023 sehingga pasca-PRN.

Kajian tersebut membabitkan ulasan komuniti TikTok pada kandungan video dalam akaun peribadi @sanusimdnor.

Pengkajinya, Amira Suraini Che Mohamad berkata, dapatan awal menunjukkan personaliti jenama politik Sanusi disumbangkan oleh lima ciri personaliti iaitu keikhlasan, keterujaan, kecekapan, kecanggihan dan kelasakan.

“Kajian ini mendedahkan bahawa kandungan video TikTok Sanusi mempromosikan ciri keikhlasan berbanding empat ciri lain yang didapati tidak menonjol.

“Ciri keikhlasan memperoleh 24 ulasan keseluruhan, sementara empat ciri lain hanya direkodkan antara 10 hingga 18 ulasan,” katanya kepada Harakahdaily.

Amira berkata, keikhlasan adalah faktor penting dalam pembinaan personaliti jenama politik dan dalam strategi itu, Sanusi berjaya menonjolkan dirinya.

Kajian tersebut menggunakan pengekod kedua untuk mendapatkan kesahan data dan nilai persetujuan keseluruhan berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Kajian tertumpu kepada Sanusi kerana beliau pada mulanya bukanlah suatu nama besar dalam gelanggang politik negara.

“Namun, kemasyhuran Sanusi dalam politik menunjukkan kekuatan media sosial dalam membina jenama politiknya,” tambah Amira.

Ia terbukti apabila Sanusi mempunyai seramai 998,200 pengikut di TikTok, berbanding pemimpin nombor satu negara ketika ini, Anwar Ibrahim yang hanya memiliki 753,500 pengikut di TikTok.

Semakan tersebut dilakukan pada 5 April 2024, jam 11:20 pagi. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -