Judi: Menjurus kepada banyak masalah sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin harus menilai isu judi secara lebih mendalam dengan melihat akibat permasalahan negatif yang timbul daripada aktiviti tersebut kepada individu, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS Negeri Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew berkata, perjudian hanyalah kehendak yang lebih menjurus kepada keburukan dan bukannya keperluan, malah tiada agama menganjurkannya.

Beliau memberi reaksi kepada kenyataan Timbalan Pengerusi GERAKAN, Oh Tong Keong yang menggesa Kerajaan Negeri Kedah menghormati penghakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar dan membenarkan premis perjudian di negeri itu beroperasi semula.

Tong Keong menyifatkan larangan Kedah itu tidak boleh digunakan untuk melucutkan hak asasi dan kepentingan etnik minoriti yang dilindungi oleh Perlembagaan kerana ia tidak adil dan juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memahami dan menghormati kewujudan bersama pelbagai budaya dan agama, mencari keseimbangan melalui dialog dan perundingan terbuka, serta memastikan keadilan dan keterangkuman dasar.

Menurut Steven Koh, judi itu bermula dengan taruhan kecil lalu menjadi ketagihan sehingga menjual harta dan seandainya agama menjadi pertikaian sekalipun, pandangan segenap sudut mesti dinilai terhadap gejala kerosakan berbangkit yang seharusnya dicegah dan dibimbangi kemudaratannya oleh pemimpin.

“Pendek kata sebagai kerajaan atau pemimpin kita harus membuat satu dasar yang baik walaupun pahit agar dapat membina masyarakat yang sihat. Misalnya, berapa banyak keluarga yang diselamatkan kerana menutup premis judi?

“Isteri mana yang suka suaminya berjudi? Masalah sosial seperti samun, gaduh dan sebagainya dapat dikurangkan akibat judi,” ujarnya yang juga bekas calon Perikatan Nasional (PN) DUN Jawi dan Parlimen Bukit Mertajam pada PRN15 dan PRU15 lalu.

Kerajaan Negeri Kedah berikutan keputusan itu bagaimanapun telah memfailkan petisyen ke Mahkamah Rayuan serta permohonan menangguhkan perintah penghakiman diputuskan Mahkamah Tinggi Alor Setar itu.

Tegas Steven, aktiviti perjudian cuma memberi untung kepada operator pengendali sahaja, tetapi ketagihan dan kesannya kepada banyak pihak adalah sangat besar yang lebih berupa kemusnahan dan kesengsaraan.

Oleh itu beliau berharap, langkah Kerajaan Kedah yang turut diikuti Kerajaan Perlis dan terdahulu Kerajaan Kelantan dan Terengganu itu boleh dicontohi kerajaan-kerajaan negeri lain, termasuk Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -
- Advertisement -