Isu PAJSK: Kerajaan perlu lebih telus

Rafiei Mustapha
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih telus, adil dan bertanggungjawab dalam isu Pentaksiran Aspek Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) kepada setiap ibu bapa.

Ketua Pengarah Pendidikan PAS Pusat, Rafiei Mustapha berkata, pengumuman kerajaan tentang jaminan kemasukan pelajar cemerlang dalam memperoleh 10A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Program Matrikulasi seluruh negara ini tanpa mengira kaum sudah tentu memberikan kelegaan kepada pelajar dan ibu bapa yang terlibat.

- Advertisement -

“Janji tersebut disambut oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi jaminan bahawa tempat yang disediakan di pelbagai pusat matrikulasi di seluruh negara ini adalah mencukupi untuk menampung bilangan pelajar cemerlang SPM 2023 seperti yang dijanjikan.

“Pada masa yang sama muncul pula, terdapat rungutan dan bantahan ibu bapa yang mana anak mereka  menepati syarat cemerlang dalam SPM 2023 tetapi tidak terpilih untuk menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) pilihan mereka kerana dikatakan markah 0 dalam PAJSK (Pentaksiran Aspek Jasmani, Sukan dan Kokurikulum),” katanya.

Menurut beliau, antara syarat kemasukan ke IPT Awam termasuk Program Matrikulasi yang dikenakan adalah dengan memperoleh markah merit lebih 90 peratus setelah diambil kira markah PAJSK  yang mengisi pemberatan 10 peratus daripada markah keseluruhan 100 peratus. 

Tambah beliau, perkara sebegini telah menimbulkan sifat tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa yang mana anaknya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun 2023 tetapi tidak dapat masuk ke dalam IPT yang diimpikan.

“Isu yang dibangkitkan di sini ialah ibu bapa yang tidak berpuas hati kerana keputusan cemerlang anak mereka dalam SPM 2023 tidak menjamin kemasukan ke IPT pilihan mereka kerana markah dalam PAJSK 0 walaupun pihak sekolah telah menghantar markah yang diperlukan di bawah PAJSK.

“Ini ditambahkan pula dengan Pegawai Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab tidak memberikan penjelasan dengan cara yang berhemah dan boleh diterima oleh ibu bapa berkenaan sehingga mengeruhkan lagi keadaan.

“Sudah tentu ibu bapa yang tidak berpuas hati akan menyalahkan pihak Kementerian Pendidikan kerana berlakunya sistem penilaian yang lemah akibat pengurusan data yang menimbulkan masalah iaitu data PAJSK yang dihantar oleh pihak sekolah yang tidak diterima oleh pihak Kementerian akibat daripada kelemahan teknikal sistem yang digunakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Rafiei menyatakan pihak Kementerian Pendidikan seharusnya perlu lebih bertanggungjawab dalam menguruskan data terutamanya yang membawa pemberatan dalam pemilihan pelajar yang layak ke IPT.

“Maka, sebarang kelemahan yang berlaku perlu diatasi segera untuk memberikan keadilan kepada pelajar cemerlang yang layak ke IPT.

“Kementerian Pendidikan juga perlu bersikap telus dalam berurusan dengan pelajar dan ibu bapa agar sebarang kekeliruan dan salah faham dalam isu sebegini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -