Isu air, elektrik: Jokowi tangguh kerja dari Nusantara

Jokowi sebelum ini mengumumkan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur bakal beroperasi pada Julai 2024. (FOTO: Modern Dipplomacy.eu)
- Advertisement -

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi memberi bayangan terpaksa menangguhkan rancangannya untuk bekerja dari ibu negara baharu Indonesia, Nusantara,  di Kalimantan Timur pada tahun ini, susulan masalah mendapatkan bekalan air dan elektrik beroperasi di kawasan berkenaan.

Beliau sebelum ini menyatakan keyakinannya akan dapat bekerja dari pejabat baharunya di Kalimantan Timur itu pada awal Julai 2024, dengan ikrarnya untuk bekerja dari sana dilihat secara meluas sebagai langkah untuk meningkatkan keyakinan terhadap projek mega itu, berikutan peletakan jawatan Ketua Lembaga Ibu Negara Nusantara, Bambang Susantono dan Timbalannya, Dhony Rahajoe pada Jun lalu.

Pihak yang menyelia projek itu, termasuk Kementerian Kerja Raya dan Perumahan telah memaklumkan kepada Jokowi bahawa infrastruktur asas masih belum siap, dengan projek bernilai AS$32 bilion (RM150 bilion) itu sedang bergelut untuk menarik pelabur dan mengalami kelewatan, dengan infrastruktur utama masih belum disiapkan beberapa minggu menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos, lapor CNA.

- Advertisement -

“Adakah air sudah siap? Elektrik sudah siap? Tempat itu sudah siap? Kalau semua dah siap, kita akan berpindah,” kata Jokowi kepada saluran berita Kompas.com.

Dekri (perintah) presiden untuk mengisytiharkan Nusantara, yang turut dikenali sebagai Ibu Kota Nusantara (IKN), sebagai ibu negara akan bergantung kepada tahap kemajuan projek dan berkemungkinan hanya akan diumumkan oleh penggantinya, Prabowo Subianto yang memenangi pilihan raya presiden pada Februari lalu. 

“Dekri presiden mungkin dikeluarkan sebelum atau selepas Oktober. Kami melihat keadaan di lapangan. Kita tidak mahu memaksa sesuatu yang belum bersedia, jangan paksa,” tambahnya.

Berdasarkan sasaran yang diumumkan sebelum ini, infrastruktur Nusantara yang akan disiapkan bulan ini termasuk pejabat presiden, istana presiden, empat kompleks pejabat tiga tingkat untuk menteri penyelaras, dan ruangan khusus di mana peringatan Hari Kemerdekaan akan berlangsung.

Penempatan bagi kesemua 36 menteri, serta 12 daripada 47 menara kediaman penjawat awam juga disasarkan siap, dengan kira-kira 12,000 penjawat awam daripada 38 kementerian dan institusi dijangka berpindah ke Nusantara menjelang September, menandakan fasa pertama pembinaan IKN itu, di mana peringkat akhir pembinaannya dijangka siap pada seratus tahun kemerdekaan Indonesia iaitu pada tahun 2045. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -