Implikasi keputusan Speaker Dewan Rakyat

Isu 6 kerusi Ahli Parlimen gugur keahlian parti

- Advertisement -

DALAM posting saya sebelum ini saya bertanya adakah Speaker Dewan Rakyat berani isytihar kekosongan 6 kerusi Parlimen yang diwakili oleh Ahli Parlimen BERSATU berdasarkan undang-undang anti-lompat parti. Jawapannya, dia tak berani.

- Advertisement -

Kenapa tak berani? Petunjuk PRK Sungai Bakap tidaklah memberangsangkan untuk PH-BN. Jika berlaku PRK di 6 kerusi Parlimen ini, kemungkinan besar PH-BN akan kalah.

Speaker Dewan Rakyat bukanlah seoarang yang bebas. Dia jadi Speaker kerana dicalonkan oleh ketua partinya dan disokong oleh ahli-ahli parlimen dari partinya. Dia takkan buat keputusan yang tak menguntungkan partinya.

Jadi direkalah bermacam alasan untuk memberi justifikasi kenapa kerusi-kerusi tersebut tak perlu dikosongkan. Ini termasuk untuk melindungi hak kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi ahli parlimen.

Kalau inilah alasannya, undang-undang anti-lompat parti tak perlu ada pun kerana ia secara terang-terangan menghalang hak kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen. Kebebasan berpersatuan adalah antara hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi menerusi pindaan perlembagaan anti-lompat parti yang dijuarai oleh PH sendiri (yang mana Speaker pada masa itu adalah Ahli Parlimen PH), hak ini dibatasi oleh Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini orang yang sama bercakap mengenai hak kebebasan ahli parlimen.

Kenapa dulu tak mempertahankan hak kebebasan ahli parlimen untuk bertukar parti? Kenapa dulu tuduh mereka yang bertukar parti sebagai penebuk atap, pengkhianat dan lain-lain? Bukankah kesannya sama saja. 6 Ahli Parlimen BERSATU ini telah menghentam BERSATU malah berkempen untuk parti lawan. Bukankah kesannya sama dengan bertukar parti? Kenapa perlu berbolak-balik dan berdolak-dalih dalam menyatakan pendirian?

Saya fikir rakyat lebih bijak menilai.

Apa implikasi keputusan Speaker Dewan Rakyat ini?

i. Pindaan perlembagaan Umno, DAP dan PAN yang bertujuan mencegah tindakan lompat parti dalam kalangan MP dan ADUN dari parti-parti tersebut tidak mempunyai kesan.  Kandungan pindaan perlembagaan BERSATU adalah sama dengan pindaan perlembagaan DAP. Oleh kerana Speaker Dewan Rakyat dalam suratnya kepada BERSATU mengatakan pindaan perlembagaan BERSATU bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka pindaan perlembagaan Umno, DAP dan PAN juga secara implikasinya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

ii. Mana-mana ahli parlimen boleh memberi sokongan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun tindakan itu bertentangan dengan keputusan parti kerana itu adalah hak kebebasan mereka.

iii. Tindakan 10 Ahli Parlimen BN yang memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sejurus selepas PRU-15 adalah sah, tidak bertentangan dengan undang-undang anti-lompat parti dan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

iv. Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi peruntukan mengenai anti-lompat parti tidak mempunyai apa-apa kesan dan boleh lah dimansuhkan.

PROF MADYA DATUK DR MARZUKI MOHAMAD
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8 – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -