Gelombang penolakan rakyat sudah bermula di Sungai Bakap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sudah sampai masanya semua badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik duduk semeja berunding dan bermusyawarah bagi menyelamatkan negara dan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.”

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, mutakhir ini semakin rancak dan semakin kuat gelombang menolak Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

- Advertisement -

“Antara isu penting adalah kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang semakin menghimpit rakyat seperti kenaikan harga diesel yang mendadak memberi kesan langsung dan berantaian kepada makanan asas dan semua sektor ekonomi.

“Rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan sementara kerajaan tidak berbuat apa-apa bagi menangani perkara diatas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kekalahan teruk gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan-Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memperlihatkan isyarat awal rakyat kepada kerajaan Madani, yang mana demografi pengundi Sungai Bakap adalah menggambarkan demografi nasional pengundi negara.

“Jika perkara ini terus kekal dan berlaku, Kerajaan Madani akan kalah dalam pilihan raya yang seterusnya. Gelombang penolakan rakyat sudah bermula di Sungai Bakap,” tambahnya.

Mohd Zai dalam pada itu menegaskan, polisi dan pengurusan kerajaan menjadi semakin parah apabila tatakelola yang semakin caca merba merosakkan sistem sedia ada, dan negara ini bakal terjerumus rosak dengan lebih parah apabila negara dan pemimpin lebih mesra barat dan Israel.

“Rakyat wajib segera bangkit memperkasa kesatuan ummah bagi menyelamatkan negara, mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

“UMMAH menyeru semua pihak yang cintakan negara terus memperkukuhkan kesatuan ummah bagi menjadi tonggak kepada kuasa politik melayu islam di negara ini.

“UMMAH akan terus mendokong gelombang selamatkan negara Malaysia dengan seruan perkasakan penyatuan Melayu-Islam yang berpaksikan kepada perlembagaan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -