FELDA jangan ulang pembaziran pemimpin terdahulu

- Advertisement -

WARGA FELDA akan sambut Hari Peneroka Kebangsaan besar-besaran di MAEPS Serdang. Sambutan di bawah Pengerusi Baharu FELDA. Dibuat diluar dari kebiasaan iaitu diluar dari tanah rancangan, dengan harapan memberi gambaran FELDA ini hebat dan gah.

- Advertisement -

Moleklah melangkah terus maju, namun perlu dilihat hakikat sebenarnya. Pertama aliran tunai FELDA itu sendiri. Di bawah ni puluhan ribu lagi peneroka yang tidak menerima sara hidup atau pendahuluan hasil. 

Mereka mengadu sejak akhir-akhir ini bayaran tertangguh dan lewat. Kontraktor kerja-kerja ladang juga mengadu sebegitu. Banyaklah lagi masalahnya yang berkaitan dengan aliran tunai semasa ini. 

Belum lagi diambil kira sudut pengurusan ladang yang dikebanyakan tempat bermasalah dan tidak sempurna. 

Sambutan kali ini sudah tentunya menggunakan kewangan yang besar. Mungkin boleh jawab ia sudah dimasukkan dalam bajet tahunan sekitar RM3 juta setiap tahun. Itu peruntukan bagi perlaksanaan seperti sebelum ini.

Tapi kali ini di MAEPS tempat yang ternama dengan acara-acara besar. Sudah tentu belanjanya mungkin semakin membesar, RM3 juta tentunya tidak cukup. Kurang-kurang mau mencecah RM5 juta bagi kos 3 hari sambutan ini. Mungkin lebih lagi dan mencecah peningkatan 100 peratus dari peruntukan.

Mana nak cari ketidakcukupan kos ini? Tentu sahaja kebijaksanaan Datuk Seri Pengerusi yang ada sekarang ini memerah kuasanya menarik sumber kewangan untuk menjayakan program ‘wow’ ini.

Pengerusi FELDA ini dilantik genap setahun, 1 Julai 2023, walaupun dia seorang bekas Menteri Pertanian, mana mungkin dia telah berjaya menstabilkan kewangan FELDA dalam tempoh ini. Tak kanlah dia dah nak merayakan kejayaannya. 

Agenda besar mengambil alih semula saham-saham FGV masih gagal. Membawa pengurusan ke arah bertaraf dunia masih belum menjadi kenyataan. Sepatutnya beliau buktikan dulu berjaya pulihkan FELDA dengan seiring kejayaan zaman kegemilangannya.

Langkah berjimat cermat perlu disemai dalam gaya pentadbiran beliau, bukan berlagak seolah mengurus kementerian yang mendapat peruntukan yang besar bagi menjenamakan semula akan sesuatu itu. 

Apapun kita generasi FELDA perlu terus mempertahankan kecemerlangan apa yang kita ada. Jangan ulang kehancuran yang dibuat oleh pemimpin sebelum ini. 

Akibatnya kini sudah nampak, kesan yang teruk dan hampir menghancurkan FELDA dengan gaya mewah membeli aset-aset dengan hanga tinggi dari pasaran demi nak menunjukkan kewangan FELDA yang gagah. 

Selamat Menyambut Hari Peneroka 2024

Catatan Anak Generasi FELDA,
NARAZA MUDA 
FELDA Jerangau – HARAKAHDAILY 11/07/2024

- Advertisement -