Elaun pelajar ILP perlu dikaji semula

Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan supaya elaun bulanan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) dikaji semula bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

- Advertisement -

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) meminta kerajaan menyatakan mekanisme yang digunakan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk menjejak kemenjadian dan kebolehpasaran pelajar-pelajar di ILP.

“Adakah pihak Kesuma bercadang untuk mengkaji elaun pelajar ILP semasa kursus dan latihan industri kerana dalam berita tahun lepas, pihak Kesuma nak naikkan elaun pelajar tersebut?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa seorang pelajar ILP Jitra memohon kerajaan mempertimbangkan elaun sebanyak RM100 sebulan itu dinaikkan seiring peningkatan kos sara hidup.

Dalam soalan asal, Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta kerajaan menyatakan pelan Kesuma bagi memperkasakan ILP di seluruh negara untuk memastikan tenaga kerja dilatih demi memenuhi keperluan industri dan berkemahiran tinggi.

Timbalan Menteri berkenaan, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementeriannya masih dalam kajian tentang kenaikan elaun pelajar ILP.

“Dalam usaha meningkatkan kepasaran di bawah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ini sangat berdaya saing dan telah bekerjasama dengan badan-badan terkawal selia iaitu badan pengiktirafan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -