Drama lompat parti subur semula?

Johari Abdul
- Advertisement -

TERKEJUT dalam jangkaan. Pelik kan. Sebenarnya tidak pelik apabila Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan enam kerusi parlimen bekas wakil rakyat Bersatu.

- Advertisement -

Ini kerana pelantikan Johari dibuat atas dasar politik. Maknanya di sebalik Johari ada tuan politik. Perkara itu acap kali disebut peguam Haniff Khatri.

“Sudah pasti sebarang keputusan dibuat mana-mana speaker didorong oleh kedudukan politik mereka,” katanya kepada sebuah media.

Persoalannya boleh ke tuan politik yang melantik Speaker mengatasi perlembagaan. Sedangkan Akta Anti Lompat Parti dilulus bagi menghalang adegan wakil rakyat melompat parti.

Pemerhati politik Dr Wan Nik Wan Yussof menyifatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat boleh menyubur semula drama lompat parti.

Sedangkan pada penggal lepas bilangan ahli Parlimen Malaysia melompat parti mencecah 39 orang. Jumlah tersebut teramai dalam sejarah Parlimen dalam tempoh lebih 60 tahun.

Drama lompat

Adegan melompat juga membolehkan Malaysia menobatkan tiga perdana menteri pada penggal ke-14. Peristiwa itu bermula dengan Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. 

Drama melompat parti juga pernah berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan. Pada PRU 20 Jun 1959 PAS membentuk kerajaan di Terengganu. ADUN Setiu Mohd Daud Abdul Samad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Bagaimanapun akibat krisis kepemimpinan, berlaku undi tidak percaya pada 30 Oktober 1961. Akibat krisis itu Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanafiah (Jeram) dan Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang) keluar PAS. Akhirnya kerajaan diterajui PAS tumbang.

Situasi serupa juga berlaku di Sabah pada 1990. Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar Barisan Nasional (BN) menjelang Pilhan Raya Umum (PRU) pada 1990.

Dan di Kelantan turut berulang peristiwa serupa pada 1991. Dua ADUN Semangat 46 keluar parti dan menyertai Umno. 

Kemudian berulang lagi di Perak pada 2009. Beberapa ADUN melompat parti sehingga menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Maka tidak hairanlah pada tahun 2009 terdapat 41 daripada 193 negara di seluruh dunia melaksanakan undang-undang berkaitan anti lompat parti.

Oleh itu bagi membendung fenomena wakil rakyat melompat parti ia perlu ditangani melalui instrumen perundangan.

Isunya sekarang situasi mana yang dimaksudkan melompat parti. Ada yang menyebut seseorang bersara atau dipecat, atau atas apa sebab sekalipun tidak lagi menjadi ahli parti politik dianggap melompat parti.

Makna lompat parti

Bagi mencari tafsiran lebih jelas mengenainya kerajaan membuat kajian awal bagi melaksanakan undang-undang anti lompat parti. 

Pada Disember 2021 Seksyen Dasar dan Penyelidikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri membentang dapatan kajian.

Kajian itu melibatkan seramai 7,571 responden. Seramai 110 orang daripadanya merupakan Ahli Parlimen. Dan orang awam seramai 7,461 orang.

Kaji selidik awam itu dibuat mulai 23 November hingga 12 Disember 2021.

Berdasar soal selidik itu sebanyak 87.8 peratus orang awam dan 84.5 peratus ahli Parlimen bersetuju bahawa tindakan seorang wakil rakyat berubah atau bertukar dari suatu parti politik kepada parti politik lain merupakan tindakan lompat parti.

Secara keseluruhannya lebih 80 peratus responden bersetuju dua faktor utama yang menyebabkan wakil rakyat keluar parti iaitu ditawar kedudukan atau jawatan dalam parti memerintah dan ditawarkan hadiah berbentuk kewangan.

Demi peruntukan

Dapatan kajian itu sudah menjelaskan situasi yang berlaku sekarang membabitkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu. 

Banyak kenyataan mereka sebelum ini mengisytihar menyokong perdana menteri kerana mahu mendapat peruntukan. Kita boleh belek banyak kenyataan media dibuat Ahli Parlimen Gua Musang, Jeli, Labuan, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Tanjung Karang.

Malangnya Speaker Dewan Rakyat menolak dapatan kajian tersebut. Ia hanya diterima pakai di Kelantan, apabila DUN mengumumkan kerusi Nenggiri kosong kerana didapati berlaku perlanggaran Akta Anti Lompat Parti.

Lebih pelik lagi tiada pengumuman rasmi dibuat Johari mengenainya. Sebaliknya perkara itu didedahkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Johari menghantar surat kepada Ketua Whip Bersatu Dr Ronald Kiandee bagi memaklumkan tiada berlaku kekosongan enam kerusi parlimen terbabit.

Kesan tindakan tersebut pelbagai pihak tampil mengkritik keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Malah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dari PKR menyifatkan keputusan speaker berlawanan aspirasi rakyat untuk menghentikan amalan lompat parti.

“Amat malang dan sedih kerana keputusan speaker tidak didukung oleh hujah yang mantap. Saya melihat speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya kepada sebuah portal berita.

Veteran Umno Shahrir Samad turut mengingatkan keputusan Johari boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan.

Shahrir berkongsi pandangan dengan menyifatkan keputusan itu atas kepentingan sendiri bukannya berdasarkan prinsip.

Muhyiddin turut menyifatkan tindakan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan Anti Lompat Parti bersifat dangkal, songsang, serta harus dicela. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -