KUALA LUMPUR: “Anwar (PMX) kata saya baca sebahagian saja daripada perlembagaan. Saya nak tanya Anwar bahagian mana yang saya tak baca tu?”
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya (ceases to be a member), maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.
“Selaras dengan peruntukan ini, Bersatu telah membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan di mana wakil rakyat Bersatu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka ialah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau supaya tidak hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu semalam.
Tambah Muhyiddin, jika enam ahli parimen berkenaan menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli parlimen.
Ini kerana menurut beliau, itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan. Maka terhentilah keahlian mereka dalam Bersatu secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu dan berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini, yang tak faham ialah Anwar,”katanya. –HARAKAHDAILY 11/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!