Akaun keldai: Pindaan akta perlu definisi jelas

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu mekanisma pengawasan lebih ketat perlu diwujudkan bagi memastikan kuasa kepada pegawai polis berpangkat sarjan ke atas dapat digunakan secara bertanggungjawab.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, ini berikutan kuasa diberikan kepada pegawai polis tersebut dibenarkan menyita wang dalam akaun bank yang disyaki terlibat dengan jenayah akaun keldai boleh disalahgunakan.

“Memberikan kritikan dan juga penambahbaikan akta kanun keseksaan ini bagi pengukuhan supaya akta ini memastikan dapat kita memastikan usaha membasmi jenayah penipuan kewangan dapat ditangani dengan sebaiknya,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Kedua, menurutnya, pindaan akta itu perlu diberikan definisi yang jelas mengenai akaun keldai kerana individu yang tidak bersalah boleh secara tidak sengaja terjebak dalam aktiviti jenayah menyebabkan akaun disita.

“Definisi yang lebih jelas diperlukan untuk melindungi hak individu yang tidak bersalah. Sebagai contoh seseorang yang meminjam kad kredit ataupun kad debit rakannya dengan persetujuannya boleh dianggap telah melakukan kesalahan di bawah akta ini.

“Ketiga, pindaan ini tidak mengambil kira hak individu yang akaun banknya disita. Individu berhak mengetahui alasan penyitaan dan diberi peluang untuk membela diri. Pindaan ini perlu memasukkan perlindungan hak asasi individu tersebut yang lebih kuat.

“Yang keempat, proses perbicaraan yang adil adalah asas kepada sistem keadilan jenayah. Pindaan ini membenarkan pihak berkuasa untuk menyita wang dalam akaun bank sebelum pertuduhan dibuat.

“Ini bermakna individu boleh kehilangan akses kepada wang mereka sebelum mereka mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah. Ini bertentangan dengan prinsip keadilan manusia itu,” kata beliau.

Menurutnya, dipercayai dengan membuat perubahan ini boleh memastikan bahawa Akta Kanun Tatacara Jenayah Pindaan 2024 adalah undang-undang yang adil dan efektif yang melindungi hak semua rakyat Malaysia.

“Saya percaya bahawa dengan pindaan RUU ini boleh menjadi alat yang berkesan untuk memerangi penipuan kewangan dalam talian ataupun penipuan yang lain yang dapat kita lindungi keseluruhan rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 11/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -