Ahli politik perlu jadi teladan tegak integriti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerjasama ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang penting bagi memainkan peranan dalam usaha mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah.

- Advertisement -

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Rosli Husain berkata, melalui kerjasama itu kerajaan negeri mengambil langkah membanteras rasuah dengan menggaris pelbagai strategi dan inisiatif.

Katanya, SPRM sentiasa bekerjasama kerajaan negeri untuk membanteras rasuah dan mencegah salah guna kuasa, malah tidak pernah berkompromi mana-mana pihak.

“SPRM sentiasa komited melaksanakan tugas diamanahkan selain menunaikan tanggungjawab tanpa mengira individu, kedudukan mahu pun status dalam masyarakat.

“Langkah tersebut diterjemahkan dengan melaksanakan Pelan Antirasuah Kelantan (KACP) 2020-2024 untuk memperkukuh lagi tadbir urus dan pembudayaan integriti,” katanya pada Program Ahli Politik dan SPRM Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di sini hari ini.

Perasmian program itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad.

Rosli berkata salah satu tumpuan KACP memperkasakan budaya tolak rasuah dalam kalangan ahli politik bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang baik dan berintegriti tinggi.

“Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat ahli politik mempunyai tanggungjawab menjadi contoh teladan dan menegakkan nilai-nilai integriti dalam pentadbiran.

“Saya menyeru kepada semua ahli politik di negeri ini supaya menjadi contoh pemimpin yang menolak rasuah, selain melaporkan sebarang perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kepada SPRM,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -