Wujudkan mekanisme mangsa ‘scam’ dapat ganti rugi

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu peraturan atau mekanisme harus diwujudkan bagi memastikan seseorang yang menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’ boleh mendapat ganti rugi atas kerugian mereka.

- Advertisement -

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN Pengkalan Chepa) berkata, ganti rugi itu sama ada secara penuh atau sebahagian boleh meringankan beban yang ditanggung mangsa.

“Apa yang menjadi harapan daripada pindaan ini, bagaimana mangsa-mangsa yang melibatkan kerugian kewangan ratusan ribu bahkan malah mungkin juta. Bagaimana kerajaan perlu menyediakan jaminan pulangan semula wang mereka.

“Sama ada secara insurans, menggunakan kaedah yang boleh memastikan setiap mangsa yang benar-benar tertipu ini mereka sekurang-kurangnya dapat melegakan kewangan mereka dengan dapat sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 bagi membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian, termasuk keldai akaun di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tambah Marzuk, penipuan dalam talian merupakan satu cabaran yang signifikan dan semakin meningkat dalam era digital yang mempunyai kesan yang buruk kepada individu dan institusi.

“Mangsa yang ditipu berhadapan dengan kerugian kewangan yang ketara, tekanan emosi dan terjejas dalam rekod kewangan mereka. Bagi institusi kewangan aktiviti penipuan akan membawa kepada kerugian kewangan secara langsung.

“Penipuan kewangan dalam talian di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dengan 14,490 kes dilaporkan dalam enam bulan pertama 2024 mengakibatkan kerugian setengah bilion RM581 juta,” katanya.

Tambah beliau, statistik peningkatan dalam penipuan dalam talian itu yang melibatkan telekomunikasi e-kewangan, love scam, e-dagang tipu pelaburan yang tidak wujud dan pinjaman yang tidak wujud telah meningkat dari 15,415 pada tahun 2018 kepada 34,465 pada tahun 2023.

Beliau mengharapkan dengan RUU itu bahawa ia akan bukan sahaja memberi kuasa pada pihak berkuasa untuk  melaksanakan siasatan segera, cekap dan berkesan, malah statistik penipuan kewangan dalam talian dapat dikurangkan.

“Kerajaan melalui Bank Negara perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan bagi setiap aplikasi perbankan.

“Sebagai langkah untuk memerangi jenayah penipuan, kempen pendidikan dan kesedaran penipuan juga perlu kerap dilakukan oleh semua institusi kewangan,” katanya.

Jelasnya, ia adalah sebagai satu langkah bagi mendidik rakyat daripada ancaman penipuan-penipuan tersebut.

Pindaan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) bertujuan memasukkan beberapa seksyen baharu bagi mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Antara pindaan yang dibuat ialah di bawah Seksyen 424a, peruntukan kesalahan dan penalti diadakan bagi pemilikan atau kawalan terhadap mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah.

Ia termasuk juga Seksyen 424b, bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan kepada mana-mana orang lain tanpa kuasa yang sah atau maksud yang sah. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -