Umno lemah jika kekal pemimpin kini, bersama PH

- Advertisement -

ARAU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin, berkata, jika dahulu Umno menjadi sandaran orang Melayu, kini mereka sudah beralih kepada PAS seperti yang dilihat dalam PRU, PRN dan PRK sebelumnya.

- Advertisement -

Terkini ujarnya, ia terbukti dengan kekalahan calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam PRK DUN Sungai Bakap dengan majoriti lebih besar berbanding PRN sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu memberi mesej jelas bahawa sokongan Melayu terhadap Umno semakin berkurang, justeru parti itu perlu menyedari bahawa mereka sukar untuk bangkit sekiranya terus mengekalkan kepemimpinan sedia ada dan bekerjasama dengan PH.

“Umno semakin sukar untuk pulih jika terus mengekalkan kepemimpinan sedia ada yang bekerjasama dengan PH. Terpulang kepada mereka jika masih tidak sedar,” katanya.

Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail, menang dengan majoriti 4,267 undi selepas memperoleh 14,489 undi, mengalahkan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Berdasarkan keputusan tersebut, PH hanya memenangi satu daripada lapan daerah mengundi iaitu Puteri Gunong dengan 3,952 undi, kelebihan tipis 369 undi.

Sementara itu, PN menguasai tujuh daerah mengundi dan menang semua sembilan saluran mengundi di Sungai Duri dengan majoriti 2,056 dan difahamkan, jumlah pengundi Cina dan India juga menurun antara 10 hingga 13 peratus.

Tambah Tuan Guru Hashim, kemenangan PN di Sungai Bakap juga menunjukkan rakyat menghantar isyarat jelas mengenai kekecewaan mereka terhadap pengurusan Kerajaan PH-BN pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pengundi Cina juga mula menunjukkan protes terhadap kerajaan dengan tidak keluar mengundi walaupun tidak mengundi PN.

“Kemarahan terhadap polisi dan dasar kerajaan turut ditunjukkan oleh pengundi Cina yang tidak keluar mengundi calon PH. Saya jangka kami menang ratusan undi sahaja, namun tidak sangka majoriti lebih 4,000 undi,” katanya.

Momentum kemenangan PN di Sungai Bakap itu ujarnya, dijangka berterusan dalam PRK di Nenggiri selepas ini dengan gelombang ini akan berlanjutan. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -