Tolak saksi yang dipertikai

Foto hiasan.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 100)

Al-Hasan bin Abil-Hasan tidak  berpendapat untuk menolak kesaksian seorang lelaki Muslim melainkan apabila orang yang disaksikan ke atasnya mempertikaikan kredibilitinya.

Lalu seorang lelaki berdepan dengannya. Katanya: Wahai Aba Said! Sesungguhnya Iyas menolak kesaksianku.

- Advertisement -

Al-Hasan bangun bersamanya menuju Iyas. Al-Hasan berkata: Wahai Abu Wailah! Kenapa engkau menolak kesaksian orang Islam ini? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang solat sama seperti solat kita, berhadap kiblat kita, maka dia itu Muslim. Untuknya perkara yang sama untuk kita. Tanggungjawabnya terhadap sesuatu sama dengan tanggungjawab kita terhadap sesuatu itu juga.

Iyas berkata: Wahai Abu Said! Sesungguhnya Allah azza wa jalla berfirman:

..مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ

Maksudnya: “..dari kalangan orang yang kamu setujui menjadi saksi.” (Al-Baqarah: 282)

Orang ini, antara orang yang tidak diredai/disukai. (Al-Aqdul-Farid, Ibn Abd Rabbuh 1/89)

Ada beberapa perkara yang boleh dipelajari daripada kisah ini:

1. Dalam fiqh Islam, khususnya pada bab kehakiman, dibincangkan tajuk saksi ini. Dalam bahasa Arab, disebut syahadah. Dari segi bahasa, ia bermakna perkhabaran yang pasti. Dari segi syarak, keterangan saksi bererti memberitahu sesuatu perkara dengan lafaz yang khusus.

2. Jumlah saksi berbeza menurut hak. Jika hak Allah, ia ada tiga jenis. Jenis pertama memerlukan tidak kurang daripada empat orang saksi iaitu kes zina. Jenis kedua memerlukan dua orang saksi lelaki selain kes zina. Jenis ketiga memerlukan seorang saksi lelaki iaitu melihat anak bulan.

3. Jika hak manusia, ia juga ada tiga jenis.

Jenis pertama perlukan dua saksi lelaki iaitu kes yang tidak melibatkan wang dan boleh dilihat oleh orang lelaki seperti cerai, rujuk dan lain-lain.

Jenis kedua perlukan dua saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua perempuan, atau seorang saksi dan sumpah oleh pendakwa. Ia melibatkan harta.

Jenis ketiga perlukan dua saksi lelaki, atau seorang lelaki dan dua perempuan, atau dua perempuan. Kes ini mengenai hak manusia yang tidak melibatkan lelaki seperti kelahiran dan lain-lain.

4. Saksi pula perlu kepada syarat. Syarat menyaksikan/syahadah tahammul ialah mumayyiz. Syarat memberi keterangan/syahadah ada’ ialah Islam, baligh, berakal, merdeka, adil, tidak dipertikai, boleh bercakap, sedar lagi prihatin.

Perbincangan lanjut mengenai saksi di dalam kitab fiqh menunjukkan Islam memberi perhatian terhadap keadilan yang ingin ditegakkan di dalam masyarakat dan negara. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -