Terengganu komited perkenal insentif, dasar mesra alam

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) dalam Majlis Perasmian Loji Tenaga Solar Hibrid 100 MW LSS3 Cypark Resources Berhad, Cypark, Solar Merchang, di Terengganu pada hari ini, 10 Julai 2024.
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar mesra alam untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu diambil bertujuan menjana pendapatan negeri menerusi kerjasama ekuiti dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dari negeri ini. 

- Advertisement -

“Kami akan memastikan proses kelulusan dan pelaksanaan projek-projek ini dipermudahkan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  dan agensi negeri terlibat, serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong perkembangan teknologi hijau ini,” katanya.

Menurut beliau, dalam usaha mencapai matlamat itu juga, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dalam bidang tenaga boleh baharu. 

“Ini termasuklah menyediakan program latihan dan pendidikan kepada generasi muda kita menerusi institusi teknikal di Negeri Terengganu seperti Kolej Universiti TATI (UC TATI), Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu atau Terengganu Skils (TESDEC) dan sebagainya.

“Program ini diadakan supaya mereka dapat menguasai teknologi hijau dan mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi,” jelasnya..

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Loji Tenaga Solar Hibrid 100 MW LSS3 Cypark Resources Berhad, Cypark, Solar Merchang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis berkenaan serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Samsuri, majlis itu merupakan langkah penting dalam usaha kerajaan negeri mencapai matlamat pembangunan lestari melalui penggunaan tenaga boleh baharu berasaskan tenaga suria.

“Pembinaan tenaga boleh baharu ini, akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja,dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat. 

“Jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1.012 Megawatt (MW), meliputi solar (333.213 MW), Hidro (665 MW), Mini Hidro (8.7 MW), dan Biogas (6 MW),” katanya.

Beliau berkata, Terengganu akan sentiasa mendukung dan menyokong usaha dalam bidang tenaga boleh baharu. 

“Kami percaya, bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, kita mampu mencapai sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, Terengganu juga merancang untuk membangunkan pelbagai sumber tenaga boleh baharu lain, termasuk mini hidropower, tenaga angin, tenaga ombak, biomass berskala kecil, dan solar terapung di Tasik Kenyir dengan kapasiti awal 400 MW, yang akan ditingkatkan kepada 600 MW. 

“Sasaran keseluruhan adalah untuk mencapai kapasiti tenaga solar sebanyak 1 gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025, serta mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi untuk menjalankan kajian dan inovasi dalam bidang tenaga boleh baharu.

“Kajian berterusan diperlukan untuk memperbaiki teknologi sedia ada dan mencari penyelesaian baharu yang lebih efisien dan berkesan dengan membawa hasil dari makmal ke medan penggunaannya.

“Hal ini ini perlu mendapat sokongan berterusan, dari pimpinan negara kita, kerana ianya wajar diangkat sebagai agenda national dengan dana yang munasabah, barulah hasil penyelidikan tidak hanya menjadi bahan dalam penulisan dan terbitan dalam referred journal semata, tidak hanya menjadi bahan di pertandingan pameran reka cipta semata, atau lebih parah jika ianya difokuskan untuk kenaikan pangkat sahaja,” katanya.

Samsuri turut mencadangkan agar negara menentukan niche dan teknologi strategik yang spesifik dengan segera.

“Hal ini mesti dikenalpasti dengan lebih realistik dan berfokus, iaitu tidak terlalu luas skop dan banyak bidang fokusnya serta tidak fragmented. Dengan visi yang lebih jelas, kita tidak lagi hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu menjadi pencipta dan penyedia teknologi di peringkat antarabangsa. Inilah bentuk sebenar pembangunan kapasiti modal insan.

“Jika kita tidak serius melaksanakan langkah intervensi ini, negara kita bukan sahaja akan tertinggal dari segi sains dan teknologi, tetapi akan menjadi kurang kompetitif,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -