Teliti aduan penipuan pakej umrah

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 252 kertas siasatan telah dibuka untuk kes penipuan umrah direkodkan sepanjang 2019 hingga Mei tahun ini dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM9.81 juta.

- Advertisement -

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu petugas khas yang melibatkan beberapa kementerian untuk meneliti aduan penipuan pakej umrah.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji keperluan untuk menambah baik syarat perlesenan, perniagaan dan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah dan ziarah.

“Sementara itu, apakah usaha kerajaan untuk membantu mangsa penipuan pakej pelancongan ini kerana mereka sangat tertekan apabila ditipu seumpama ini.

“Mungkin mangsa tidak berani untuk membuat aduan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan terhadap syarikat terbabit,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan jumlah kes penipuan umrah dan haji sejak 2019 hingga tahun ini, serta tindakan yang dikenakan kepada agensi pengendali umrah yang telah menipu para jemaah yang telah membayar.

Timbalan Menteri berkenaan, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata kementeriannya telah melakukan pelbagai siri tindakan yang merangkumi sesi libat urus sejak tahun lalu sehingga kini.

“Kita akan mengaplikasikan syarikat pengendali umrah supaya ia lebih tersusun dan teratur untuk mengekang kes-kes penipuan.

“Jumlahnya agak tidak signifikan tetapi masih memberikan satu petunjuk yang tidak sihat kepada industri umrah itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -