Tafsiran songsang Speaker mencemar Perlembagaan – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mahu mengosongkan kerusi enam orang Ahli Parlimen Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai mencemar Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, keputusan Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Bersatu telah menerima surat bertarikh 9 Julai lewat petang semalam daripada Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu itu.

“Keputusan YB Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi.

Jelas beliau, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

Tegasnya, dalam situasi itu, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Bersatu.

“Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya,” ujar beliau.

Tambah beliau, pentafsiran Bersatu terhadap perkara itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

Katanya, keputusan Speaker itu adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang kerana hanya mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu.

“Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara. Maka, tindakan YB Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -