Surat sokongan Setiausaha Politik PM tak wujud? Buktikan!

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amalan surat pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran kerajaan yang dikatakan sudah tidak wujud perlu dibuktikan oleh kerajaan dengan benar-benar melaksanakannya.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) memetik satu surat sokongan daripada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri bertarikh 6 Mei 2024 yang diberikan kepada Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, bertajuk ‘Pra Kelayakan Kontraktor Tender Terpilih Bagi Kerja-Kerja Membina Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.’

- Advertisement -

“Kalau Perdana Menteri kata amalan surat sokongan ini sudah tidak ada, sepatutnya ini yang diambil tindakan. Tetapi rakyat tidak melihat apa tindakan yang diambil,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian ketika mengadakan perbahasan mengenai isu Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, dalam surat itu juga terdapat enam permohonan pra kelayakan kontraktor tender terpilih yang telah diterima oleh pihak Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri bagi kerja-kerja pembinaan hospital berkenaan.

“Kita tidak boleh hanya bercakap sahaja. Saya dengar tadi Perdana Menteri menyebut bagaimana isu surat sokongan dan sebagainya akan diteliti semula.

“Dalam pada kita bercakap tentang ketelusan, kita juga perlu untuk dilihat melaksanakannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -