Selagi Umno dipimpin manusia cacat integriti…

Mohd Harun Esa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan daripada ucapan Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi pada Mesyuarat Umno  di Kuala Kangsar  baru-baru ini disifatkan tiada jiwa penyatuan ummah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Harun Esa dalam kenyataanya berkata, pertimbangan politik Zahid bukan berasaskan maslahah ummah tapi berasaskan kebebasan kes mahkamah.

- Advertisement -

Terdahulu, dalam laporan media tempatan, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar, Perak, semalam Zahid membayangkan bahawa tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Tuan Guru Abdul Hadi menjadi Presiden PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

Zahid mendakwa banyak keputusan bersama yang dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati oleh PAS

Sehubungan itu Mohd Harun berkata, “Masih terngiang-ngiang di telinga kami laungan bersemangat Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno, ‘NO ANWAR, NO DAP’.

“Ironinya, Zahid yang angkat Anwar dan DAP membawa kepada kerajaan bermasalah hari ini.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Terengganu rasa terpanggil untuk memulang paku buah keras kepada Presiden Umno  untuk mengatakan berpendirian bahawa ‘Tiada kerjasama PAS-UMNO selagi Zahid Hamidi Presiden Umno’.

“Selagi Umno dipimpin oleh manusia berlidah biawak, selagi itulah harapan penyatuan ummah akan tertangguh.”

“Selagi Umno dipimpin oleh manusia yang cacat integritinya, selagi itulah parti akan terus bermasalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -