Segerakan mekanisme Bina Kemudian Jual sektor perumahan

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesedian kerajaan untuk melaksanakan mekanisme Bina Kemudian Jual (BKJ) dalam  sektor perumahan negara dialu-alukan, namun ia disaran agar perlu disegerakan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, baru-baru ini beliau membangkitkan persoalan mengenai bagaimana kerajaan melindungi pembeli rumah daripada menjadi pemiutang yang tidak dijamin dalam projek pembangunan Jual Kemudian Bina (STB).

- Advertisement -

“Maka saya menyambut baik mekanisme BKJ ini bagi mengelakkan pembeli rumah iaitu rakyat sendiri terutamanya golongan muda mendapatkan rumah tanpa risiko terperangkap daripada hutang yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, orang-orang muda pada hari ini sudah pun terperangkap dengan hutang seperti pinjaman pendidikan.

Tambah beliau, ada daripada kalangan mereka baru sahaja membina kehidupan secara berumah tangga yang mana kehidupan mereka tidak seharusnya dibayangi dengan hutang perumahan pula selain daripada hutang pendidikan.

“Sudahlah anak-anak muda terperangkap dengan hutang pendidikan, kita tidak mahu permulaan hidup rumah tangga mereka dibayangi dengan hutang pembelian rumah akibat ketidakpastian,” ujarnya.

Beliau menyatakan usaha kerajaan dalam menjadikan mekanisme BKJ secara meluas perlu disegerakan bagi menghadapi masalah-masalah sebegitu yang dihadapi oleh kebanyakan orang muda.

“Oleh itu, saya melihat usaha ke arah menjadikan mekanisme BKJ secara meluas perlu disegerakan.

“Kajian kebolehlaksanaan projek perlu menjadi satu kemestian bagi syarikat pemaju sebelum sesuatu projek dibangunkan.

“Mekanisme ini bakal membuka peluang kepada syarikat tempatan yang mempunyai sumber kewangan yang terhad turut aktif dalam sektor pembinaan perumahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -