Premis judi: Kedah bawa ke Mahkamah Rayuan

- Advertisement -

ALOR SETAR:  Pembatalan larangan memberi lesen atau membaharui lesen premis judi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Alor Setar ditangguh terlebih dahulu sehingga proses rayuan dari pihak kerajaan negeri selesai.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Jelasnya, notis rayuan melalui Penasihat Undang-Undang Negeri telah difailkan pada 24 Jun lalu, manakala notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi difailkan pada 4 Julai baru-baru ini.

“Bila telah menjadi kes mahkamah, saya tidak boleh membuat apa-apa ulasan. Tetapi keputusan mahkamah membatalkan keputusan kerajaan negeri tidak membaharui lesen premis ditangguh dahulu sehingga kes ini didengar di Mahkamah Rayuan terlebih dahulu.

“Kalau tak buat penangguhan, premis judi dibolehkan dibuka kembali tetapi lesen untuk membukanya hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya.

Kata Sanusi, pihaknya merasa amat terkilan dan sedih kerana ada pihak sanggup mengambil kesempatan dalam keadaan negara meletakkan Islam sebagai agama rasmi, namun sesuatu perkara yang besar dalam Islam boleh ‘dipangkah’ begitu saja.

“Ikutkan saya, nak saja ulas panjang-panjang, baca ayat-ayat larangan judi. Sesiapa yang terbabit, jawablah dengan Allah. Dunia tak lepas, akhirat lagi tak lepas. Tetapi bagi saya, tanggungjawab saya dah lepas.

“Sebab saya laksana perintah Tuhan (Allah) ke atas saya kerana setiap manusia dihantar ke dunia ada tanggungjawabnya masing-masing. Sebagai kalifah, setiap detik dan saat perlu fikir cari jalan bagaimana nak laksanakan tanggungjawab apa yang Allah perintahkan.

“Tak mau (mahu) ikut perintah Allah, pi (pergi) duduk dunia lain. Ada dunia lain? Tak dak. Semua Tuhan buat. Jadi nak lawan pasai apa, yang kita buat tu elok dah,” tambah beliau.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pemilik kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri berikutan keputusan tidak menyambung serta tidak mengeluarkan lesen premis perjudian yang dikuat kuasa bermula 1 Januari tahun lalu.

Sementara itu, berkaitan pampasan yang dituntut oleh pemilik premis perjudian, kata ADUN Jeneri itu, hal berkenaan akan ditentukan oleh mahkamah.

Berikutan itu ujar beliau, dengan jumlah pampasan yang diterima, rakyat Kedah boleh melihat sendiri berapa banyak wang dibelanjakan untuk berjudi. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -