PN belum muktamad calon PRN Nenggiri

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tidak berhasrat mencadangkan calon Bersatu turut mengadakan bai’ah bagi menjamin kesetiaan mereka kepada Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Naib Presidennya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perjanjian kesetiaan merupakan hak parti masing-masing.

Katanya, PAS tidak mencampuri urusan dalaman Bersatu membabitkan akujanji atau setia bersama parti.

“PAS dan Bersatu mempunyai kaedah berbeza dalam aspek kesetiaan calon kepada parti termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bersatu ada aku janji, calon PAS pula ada bai’ah dengan parti,” katanya kepada media selepas merasmikan penutup Persidangan Antarabangsa Kelantan 2024 di sini, hari ini.

Mohd Amar juga berkata, PAS tidak terlibat dalam pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Kata beliau PN belum membuat keputusan berkaitan calon yang akan bertanding pada PRK Nenggiri.

“Setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai di peringkat pimpinan tertinggi PN. Sekarang banyak bersifat cadangan.

“Kita tunggu pimpinan tertinggi PN bermesyuarat dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -