Persepsi ‘lebai’ tidak boleh tadbir kerajaan meleset

Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemahuan politik begitu penting bagi membolehkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan di Kelantan sejak 1990 dipertahan sehingga sekarang.

- Advertisement -

Bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, dasar itu mengarapkan kefahaman rakyat dan penjawat awam yang berpangkal prinsip Ubudiah, Masuliah dan Itqan (UMI).

Malah, katanya sebelum ini ada pihak menganggap ulama atau lebai tidak boleh mentadbir sesebuah kerajaan.

“Persepsi itu ternyata meleset selepas arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan keupayaan mentadbir Kelantan sehingga kekal sampai sekarang,” katanya pada forum sempena Persidangan Antarabangsa MBI 2024 di sini hari ini.

Turut diundang sebagai panelis bekas Speaker DUN Kelantan Dato’ Abdullah Yaakob. Manakala Pengarah Pusat Kajian Strategi (PKS) Dr Wan Nik Wan Yussof bertindak sebagai moderator.

Ustaz Ahmad juga berkata, dasar MBI berjaya dilaksana kerana parti menguasai kerajaan mempunyai mesej politik yang jelas.

“Kita bimbang apabila bertukar kerajaan dasar MBI yang dilaksanakan sekarang akan berubah.

“Sebab itulah setelah dilantik sebagai Menteri Besar pada 6 Mei 2013 saya mewujudkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) untuk kita memanfaatkan kembali peranan Tok Guru.

“Tok Guru datang sekali sekala ke IPTG bagi berkongsi pengalaman.  Sayang sekali kalau kita tidak dapat manfaatkan pengalaman itu kerana sukar hendak cari tokoh seperti Tok Guru,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -