Perbezaan pendapat tidak akan selesai

Gambar Hiasan
- Advertisement -

IMAM Syafie pernah berselisih dengan Imam Ahmad dalam bab orang tidak sembahyang. Ia tidak selesai sampai ke sudah. Imam Syafie kata, orang yang tidak sembahyang ini kalau dia tidak ingkar kepada perintah dan hukum sembahyang, makna kata dia tahu bahawa hukum sembahyang adalah wajib, cuma dia malas, maka dia seorang yang fasik, tidak jatuh kafir.

Namun, bagi Imam Ahmad bin Hanbal, kalau dia tidak sembahyang, tidak kira sama ada dia kata atau tidak, maka dia jatuh kafir. Kedua-dua mereka berhujah berdasarkan hadis.

Bagi Imam Ahmad, sembahyang merupakan tanda penting yang menunjukkan kita beriman atau tidak. Kalau dia tidak sembahyang, maka tiadalah Islamnya. Bagi Imam Syafie tidak.

- Advertisement -

Perbezaan pendapat tidak akan selesai sampai ke bila-bila. Selama mana kita hidup, selama itulah kita akan berbeza pandangan. Yang pertama adalah ilmu yang tidak serupa. Taraf pengajian masing-masing berbeza. Yang kedua adalah cara kita faham terhadap sesuatu perkara itu tidak sama. Perspektif atau sudut pandangan yang berbeza akan menyebabkan kita bakal membuat kesimpulan yang berbeza.

Ulama merujuk kepada al-Quran dan hadis yang serupa, tetapi mengapa terhasil banyak mazhab? Sebab cara fahaman yang berbeza dan tafsirannya. Contohnya, masalah janggut. Orang yang mengambil hadis secara zahir, menyatakan bahawa menyimpan janggut adalah wajib. Tetapi, bagi orang yang faham mengapa Nabi menyuruh kita supaya menyimpan janggut, menyimpannya adalah sunat, bukan wajib.

Orang yang menganggap bahawa menyimpan janggut adalah wajib, dia tetap berusaha untuk menjaganya walaupun seurat. Jadi, janganlah pula menyalahkan orang yang berpegang bahawa ia adalah sunat, begitu juga sebaliknya. Masing-masing ada asasnya. Kadang-kadang masalah kita pada hari ini, yang duk berbalah itu ialah orang-orang yang tiada janggut pun.

Begitu juga dengan masalah solat Terawih. Tiap-tiap tahun berkelahi, nak buat dua puluh rakaat, nak buat lapan rakaat. Sepatutnya yang kita fikir adalah macam mana nak tarik orang supaya datang ke masjid menunaikan solat Terawih. Apa faedahnya kita bertengkar? Apa tujuannya? Terawih ini bukan soal bilangan, tetapi ibadah kita kepada Allah. Kita buat sikit tetapi dengan ‘comel’ dan sempurna, itu adalah lebih baik daripada buat banyak tetapi tidak sempurna.

Maka, kita tidak dapat terlepas daripada perbezaan pandangan. Sikap kitalah yang menentukan keharmonian dalam masyarakat. Ulama seharusnya mengambil sikap orang terdahulu yakni terbuka. Mereka pakat pergi mendengar ‘mu aku’. Di Kufah, Iraq, ada Masjid Syafie dan Masjid Hanbali. Ulama pakat pergi mendengar. Ketika pengajaran mazhab Syafie, mazhab lain pergi mendengar dan begitulah sebaliknya.

Imam Syafie pergi sembahyang di Baghdad. Di masjid itu ada kubur Abu Hanifah. Orang lain mengenalinya kerana dia merupakan orang tersohor. Beliau menjadi Imam solat Subuh tetapi tidak membaca doa Qunut dan tidak buat Sujud Sahwi. Setelah selesai solat, anak-anak muridnya pergi kepadanya dan bertanya.

Beliau memberitahu bahawa apa yang dilakukannya itu dalam keadaan sedar. Beliau sebenarnya menghormati tok guru, katanya sambil tunjuk ke arah kubur Abu Hanifah. Beliau melakukannya kerana menghormati pandangan orang lain, walaupun tidak setuju dengan pandangan itu. Inilah sikap besar, jiwa Imam Syafie yang terbuka.

Imam Syafie walaupun tidak sama pendapat dengan Imam Ahmad mengenai bab orang tidak sembahyang, tetapi apabila ditanya siapa anak muridnya yang paling beliau sayang dan hormat, jawabnya ialah Abu Abdillah. Abu Abdillah merupakan gelaran kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Anaknya bernama Abdullah. Sedangkan beliau ‘berbalah’ dengannya sehingga keluar mazhab lain yakni Mazhab Hanbali.

Apabila ditanya pula kepada Imam Ahmad, dalam ramai-ramai gurunya, siapa yang beliau paling hormat, jawabnya ialah Muhammad bin Idris yakni Imam Syafie. Sedangkan mereka berdua ini berbeza pandangan dan mazhab pula lain-lain, tetapi nak katanya, penghormatan itu penting dengan ilmu yang ada. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -