Pemuda PAS komited sokong Kedah bebas judi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan negeri menjadikan Kedah negeri bebas judi, disokong dan perlu dipertahankan, demikian tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Nasrun Othman.

- Advertisement -

Katanya, perjudian adalah satu amalan yang dikutuk oleh semua agama dan tidak memberikan kebaikan kepada masyarakat.

“Pemuda PAS akan sentiasa bersama dan mendokong tindakan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri untuk terus komited dengan keputusan tidak mengeluarkan lesen premis perjudian,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu kata Nasrun, semua lapisan masyarakat perlu memahami bahawa judi bukan sahaja haram dan keji di sisi agama Islam, malah membawa kesan kerosakan kepada semua termasuk institusi kekeluargaan.

“Dewan Pemuda PAS akan berusaha memberi kefahaman akan bahaya serta implikasi judi terhadap masyarakat supaya langkah kerajaan negeri menjadikan negeri ini bebas daripada aktiviti tidak bermoral itu terus disokong dan dipertahankan,” tambah beliau.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemilik syarikat perjudian berjaya mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri berhubung tindakan memberhenti serta tidak menyambung lesen premis judi bermula 1 Januari tahun lalu.

Tindakan itu didakwa tidak sah serta tidak rasional, melanggar Perlembagaan serta gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Justeru Nasrun yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Kedah mengharapkan rayuan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri atas keputusan Mahkamah Tinggi itu akan memberi impak positif.

“Moga ada sinar diperingkat rayuan nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -