Pemandu e-hailing: Polisi mesra OKU wajar diwujudkan

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan dicadangkan membuat satu polisi mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi keterlibatan dalam sektor ekonomi e-hailing yang bersifat jangka masa panjang.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, ianya perlu dirangka khas untuk membolehkan orang OKU memberi sumbangan dalam pembangunan ekonomi negara.

“Saya mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh golongan OKU ini terutama dalam mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan bagi lesen PSV ini.

“Adakah terdapat pengecualian tertentu untuk golongan OKU agar mereka dibenarkan terus terlibat terutama dalam sektor ekonomi e-hailing ini,” ujar beliau.

Zailah berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata memang terdapat pengecualian yang diberikan kepada pemandu-pemandu OKU kecuali kelas A dan A1 kecacatan fizikal yang perlu dilihat jenis kecacatan fizikal yang dialami.

“Ada yang mungkin tak diberikan pengecualian tetapi sebagaimana dalam dasar kita, kita memang pro kepada pemandu OKU.

“Sebab kita melihat bahawa OKU ini juga mampu untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat, mereka mampu menjadi pemandu yang berhemah dan berhemat dalam perkhidmatan e-hailing ini.

“Jadi bagi kita selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikalnya mereka boleh memandu, kita cuba memberikan pengecualian.

“Cuma dalam borang pendaftaran itu ataupun borang mereka memerlukan pengecualian daripada Kementerian Kesihatan. Jadi dalam perkara ini memang kita akan lihat dan cuba tambah baik,” ujar beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan garis panduan untuk membenarkan pemandu OKU dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing (perkhidmatan seru-pandu), dan rancangan kerajaan untuk mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU untuk mendapatkan lesen PSV (Perkhidmatan Kenderaan Awam). – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -