Pelaksanaan dwi rangkaian 5G bertentangan dengan Akta Seksyen 133?

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pelaksanaan dwi rangkaian 5G oleh pihak kerajaan akan menyebabkan berlakunya pelanggaran Akta Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia.”

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Saiful Wan Jan berkata, baru-baru ini kerajaan telah memutuskan bahawa semua syarikat telekomunikasi dikehendaki memegang ekuiti dalam Digigal Nasional Berhad (DNB) iaitu pemilik rangkaian 5G pertama.

- Advertisement -

“Ini bertentangan dengan jaminan kerajaan itu sendiri yang mana pelaksanaan dwi rangkaian 5G akan dilakukan dengan adil dan saksama.

“Malah, ianya juga bertentangan dengan Akta Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia yang secara khusus menyatakan bahawa syarikat-syarikat yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak boleh melakukan apa-apa tindakan yang mengurangkan persaingan terbuka dalam pasaran komunikasi,” katanya.

Menurut beliau, syarikat-syarikat seperti CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd telah melanggan saham dan baru-baru ini mengesahkan mereka memenuhi semua syarat membolehkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) secara kolektif memegang 65 peratus pegangan dalam DNB.

Tambah beliau, tindakan tersebut membolehkan syarikat-syarikat sebegini bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalaman tentang butiran teknikal dan kewangan DNB tetapi juga mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah DNB itu sendiri.

“Semua pemegang saham DNB adalah berhak memohon menjadi pengendali rangkaian 5G kedua yang bakal diwujudkan untuk menyaingi DNB.

“Situasi ini sudah tentu memberi kelebihan perniagaan yang tidak adil kepada syarikat-syarikat tersebut. ⁠Keberadaan mereka dalam Lembaga Pengarah DNB memberikan syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan kawalan yang tidak adil ke atas pengurusan dan operasi DNB serta akses kepada maklumat-maklumat kewangan dan strategi DNB. 

“Tambahan pula, maklumat dan kuasa dalam Lembaga Pengarah ini boleh digunakan oleh syarikat-syarikat itu untuk memastikan mereka sendiri mempunyai kelebihan yang tidak adil (unfair advantage) apabila bersaing dengan DNB nanti,” ujarnya.

Beliau menyatakan langkah yang diambil oleh kerajaan pada masa ini adalah amat sumbang, tidak logik dan tidak kompeten.

Kata beliau, ini kerana kerajaan seolah-olah membenarkan pesaing untuk masuk ke rumah DNB, mengawal dan memaksa DNB untuk bersaing dengan mereka yang mempunyai kuasa mengawal syarikat itu sendiri.

“Di mana logiknya langkah ini? Tindakan kerajaan bukan untuk menghasilkan persaingan, tetapi ia hanya akan menghasilkan kelebihan kepada para pesaing DNB untuk membunuh DNB dalam pasaran. Di mana persaingan yang disebut-sebut oleh Menteri Komunikasi selama ini?

“Jelas sekali Menteri Komunikasi tidak cermat dan rancangan beliau tidak difikirkan dengan teliti, sehingga akhirnya yang akan rugi ialah rakyat dan pembayar cukai.

“Malah, pada 1 Julai 2024, kerajaan mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (Applicant Information Package atau AIP) untuk mengenal pasti pengendali rangkaian mudah alih (mobile network operator atau MNO) untuk rangkaian 5G kedua yang dicadangkan. 

“Namun, tiada perincian diberikan tentang AIP ini dan kriteria yang dikehendaki juga tidak mudah diperolehi secara terbuka. Kenapa kerajaan tidak telus dalam proses penting ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -