PAS tolak kerjasama pemimpin ‘pengkhianat bersiri’

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tetap akan memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan tidak berminat bekerjasama pemimpin yang dilabel sebagai ‘pengkhianat’.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pemimpin yang pernah bersumpah dengan nama Allah pun dilanggar, bagaimana pula janjinya kepada sesama manusia.

“Ayam tak patuk, itik tak sudu. Kamu tak hendak… kami tak mahu. PAS serik bekerjasama dengan pihak yang boleh dianggap pendusta bersiri,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor mendakwa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi parti terbabit diketuai Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tersebut ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak, kelmarin.

Mohd Amar juga berkata, PAS sedia mengekalkan kerjasama politik dalam PN sebagaimana yang ada sekarang.

Sebelum ini, Zahid dilapor mengikrarkan ‘No Anwar, No DAP’ ketika Persidangan Agung Umno, namun dilanggar dengan menyertai kerajaan diterajui Anwar selepas PRU15.

Isu serupa juga sering disebut bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dengan mengganggap Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dilanggar Presiden Umno apabila membentuk jajaran baharu dengan DAP dan PKR. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -