PAS tak perlukan Zahid: DUPP sokong kenyataan Tuan Ibrahim

Ahmad Yahaya dan Zahid Hamidi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) yakin orang Melayu-Islam khususnya, serta rakyat Malaysia yang berbilang kaum umumnya semakin menerima PAS serta Perikatan Nasional sebagai wadah utama penyatuan ummah di negara ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, PAS sentiasa konsisten dengan agenda penyatuan ummah yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu sebagai tunjang, serta kekal menyantuni rakyat pelbagai kaum.

- Advertisement -

“Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebagai bukti yang terkini. Hanya inilah nilai penyatuan dan perpaduan yang sebenar. 

“DUPP turut ingin menyokong ketegasan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kami tidak memerlukan individu bernama Zahid Hamidi untuk bercakap soal penyatuan ini.

“Malah, tidak ada keperluan untuk kita mengajak rakyat bersama-sama mempertahankan batang tubuh individu yang pernah dituduh prima facie 47 kes rasuah di mahkamah,” katanya.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, soal kerjasama PAS dengan mana-mana komponen Pakatan Harapan (PH) hanyalah sekadar angan-angan Mat Jenin pemimpin PH kerana isu tersebut tidak pernah berbangkit sedikitpun bahkan tiada keperluan untuk memikul beban penolakan rakyat terhadap kerajaan yang diibaratkan seperti lembu kekenyangan.

“Ia sengaja dimainkan untuk mencipta sentimen negatif terhadap PAS serta cubaan memecah belah kesatuan dalam Perikatan Nasional.

“DUPP juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama PAS dan Perikatan Nasional bernaung di bawah payung penyatuan ummah yang satu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -