Nilai semula pampasan Kampung Sungai Baru

Dato' Seri Dr Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kampung Sungai Baru di ibu kota, di sini masih belum menyaksikan sebarang projek pembangunan walaupun 95 peratus penduduk di situ sudah berpindah sejak enam tahun lalu.

- Advertisement -

Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pemaju tersebut diminta menyerahkan semula tanah berkenaan jika tidak mampu meneruskan projek berkenaan.

“Sejak kerajaan baru ini diambil alih, saya tidak dapat maklumat berkenaan ini sebab kerajaan sekarang lebih bersifat angkuh, sombong dan tak nak kawan dengan orang.

“Berapakah pampasan yang telah diterima sehingga kini? Adakah pengiraan berdasarkan pada jumlah tanah keluasan sembilan ekar ataupun dikira berdasarkan keluasan rumah? Kalau berdasarkan keluasan rumah-rumah, ia tidak termasuk harga jalan.

“Jadi adakah pengiraan itu berdasarkan kepada keseluruhan, kemudian dibahagi ikut kepada keluasan rumah?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan berkata, penduduk di situ sewajarnya dipindahkan di Sungai Udang, Segambut yang merupakan kawasan yang cukup cantik berdasarkan keluasan rumah.

“Adakah penduduk dibayar secara keseluruhan, kalau tidak sudah pasti kos ini dibayar kepada bandaraya (DBKL)? Saya minta supaya bandaraya kos pembangunan yang dikenakan kepada pemaju dibayar kepada tuan-tuan kepada tanah,” katanya.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk menyatakan status terkini projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru serta tindakan yang diambil terhadap pemaju projek.

Menteri berkenaan, Dr Zaliha Mustafa, berkata isu pemaju yang memberi tawaran kepada penduduk untuk berpindah di Sungai Udang akan diberikan jawapan terperinci secara bertulis.

“Jumlah pampasan yang dibayar bagi pampasan rumah pangsa adalah sebanyak RM198,000 hingga RM350,000, manakala bagi rumah teres adalah antara RM800,000 hingga RM2.9 juta yang dibuat oleh agensi yang sah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -