Negeri di bawah teraju PAS dicerna acuan ‘negara hidayah’

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS berhasrat menjadikan negeri-negeri di bawah pentadbirannnya sebagai ‘negara hidayah’ yang selaras dengan perjuangan parti itu selama ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hidayah itu merangkumi empat bahagian iaitu naluri, pancaindera, akal dan agama.

- Advertisement -

Malah katanya negara hidayah yang pertama pernah dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah yang menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan selain penyatuan masyarakat majmuk di bawah naungan Islam.

“Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dicadangkan untuk muncul sebagai negara hidayah yang menjadi perjuangan kita selama ini.

“Walaupun terpaksa bersusah payah dan berdepan dengan cabaran, namun kita tetap berusaha melaksanakan dengan mempertahankan pemerintahan di empat negeri terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pembinaan Pembangunan Ketamaduan Negara Islam’ pada Persidangan Antarabangsa Kelantan MBI 2024 di sini, malam tadi. (Foto atas)

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasuruddin Daud, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang memecat salah seorang gabenornya yang mahu meningkatkan cukai untuk selesaikan masalah kewangan perlu menjadi panduan.

Menurutnya, walaupun pemerintahan agak singkat iaitu 30 bulan, pemimpin kerajaan Bani Umaiyah itu berjaya menjana ekonomi dan pembangunan pesat. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -