Model urus tadbir UMI pertahan integriti kerajaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) dapat dihayati rakyat dan saf pentadbir kerajaan sebaik mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, UMI digagaskan berdasarkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dicetus sejak awal pemerintahan PAS di Kelantan pada akhir 1990.

- Advertisement -

Katanya strategi tersebut merupakan salah satu usaha bagi meluaskan lagi model urus tadbir dan pemerintahan yang berteraskan UMI bagi memastikan ketelusan dan integriti kerajaan sentiasa terjamin.

“Oleh itu dapat difahami bahawa di era pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) untuk memastikan tiga prinsip itu meresap dalam diri setiap individu dan anggota pentadbir.

“Pendekatan ini merupakan pengembangan kepada dasar yang lebih holistik dan mendasar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelantan MBI 2024 di sini malam tadi. (Foto atas)

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato Mohd Amar Abdullah, mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mohd Nassuruddin juga berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi membina masa depan Kelantan yang lebih baik dengan mejadikan syariat Islam sebagai panduan.

Ia termasuk sebuah kajian ‘Negeri Masa Depan: Kelantan Sejahtera 2033’ dilakukan sebuah institusi pengajian tinggi tempatan menghasilkan senario dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya kajian tersebut menjadi panduan dalam perancangan dan pembinaan polisi yang lebih praktikal, terarah dan realistik bagi kelestarian dan pembangunan Kelantan.

“Kajian tersebut menetapkan 19 kuasa pengerak antara kepimpinan ulama menjadi peneraju ekonomi Islam, pemantapan sistem perkaderan kepimpinan masa depan.

“Dengan cabaran menuju Kelantan Sejahtera 2033, 19 kuasa pengerak dikenal pasti bertunjangkan lima maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -