Lagak sombong presiden punca Umno makin dijauhi

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Lagak sombong Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggap antara faktor orang Melayu semakin menjauhi parti terbabit.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, usaha untuk menarik rakyat mendekati Umno hampir sukar selagi diketuai pemimpin terbabit. 

Katanya, hanya dengan menolak Zahid boleh menyelamatkan parti itu daripada terus tenggelam dalam arus politik perdana.

“Pemuda PAS turut bimbang parti terbabit yang dipimpin mengikut nafsu tanpa roh Melayu Islam menyebabkan Umno semakin hilang sokongan.

“Sedangkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak jemu mengajak parti-parti Melayu-Islam memperkukuhkan kesatuan ummah bagi membina kekuatan kuasa politik,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Zahid dilapor memberitahu beliau tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi parti itu dipimpin Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Oleh itu Kamal berkata, kenyataan Presiden PAS hanya pemimpin cawangan PAS sesuai menjawab tohmahan Zahid tepat sekali.

Menurutnya, kenyataan emosi Presiden Umno tanpa memikirkan masa hadapan ummah dan kuasa politik Melayu hanya layak dijawab pemimpin cawangan PAS.

“Semakin banyak Presiden Umno bercakap menolak penyatuan ummah semakin dijauhi rakyat,” katanya.

Malam tadi, ketika memberitahu pemberita di Kota Bharu, Presiden PAS berkata, kenyataan Zahid menolak kerjasama dengan PAS hanya sesuai dijawab pemimpin cawangan. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -